Sedia merebut gelaran penjaga gol utama skuad Sri Pahang

Bekas penjaga gol Felda United, Zarif Irfan Hashimuddin bersedia untuk merebut gelaran penjaga gol utama skuad Sri Pahang dalam saingan Liga Super musim ini.

Bakal dicabar penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias, Zarif berazam mahu berikan segalanya dalam sesi latihan selepas meninggalkan Felda yang tidak lagi beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

“Saya amat hormati Helmi selaku penjaga gol yang cukup kaya dengan pengalaman dan banyak perkara boleh dipelajari dengan dirinya selepas menyertai sesi latihan di Pahang.
“Namun, saya datang ke Pahang bukan untuk menjadi penumpang, sebaliknya mahu membuktikan potensi yang saya ada serta menjadi penjaga gol utama.

“Jadi, saya akan berikan komitmen serta komited di padang latihan serta jika diberi peluang untuk bermain, saya akan pastikan berada di tahap terbaik bagi membantu pasukan,” katanya.

Zarif yang bermain di Piala FAM bersama Air-Asia Allstars pada 2015 pernah memulakan kerjayanya selaku pemain amatur apabila pernah bertindak selaku ejen ‘ramp’ di syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

Segala-galanya berubah apabila dia ke Selangor selama dua musim dari 2016-2017, yang menukar haluan kerjayanya sebagai pemain profesional.

Dia berhijrah ke PKNS selepas itu selama dua musim dan bermain untuk Felda pada musim lalu.

Katanya lagi, dia biarpun ada menerima beberapa tawaran pasukan lain, Zarif akui peluang bermain dengan Pahang adalah sesuatu yang dinantikan kerana menganggap pasukan dari Pantai Timur itu punyai nama yang cukup besar dalam sejarah bola sepak tempatan.

Malah, dia berharap mampu tampilkan prestasi yang cemerlang dengan pasukan serta sebagai batu loncatan buat dirinya berada dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Selepas pasukan Felda memilih untuk tidak lagi beraksi, saya ada berbincang dengan dua dan tiga pasukan lain sebelum tawaran datang menerusi pengurus, Datuk Suffian (Mohammed Awang).

“Beliau dan pengurusan berikan keyakinan yang mereka punyai perancangan jangka panjang dengan saya kerana umur saya masih muda dan optimis terhadap kemampuan saya.

“Bagi saya, ini peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana pasukan mempunyai nama begitu besar dalam liga dan saya rasa inilah peluang terbaik buat diri saya kembali naikkan karier.

“Saya mahu dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan, sebelum ini saya pernah merasai peluang sedemikian pada 2019 apabila Tan Cheng Hoe pernah memanggil saya gantikan Hafizul Hakim yang cedera pada saingan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

sumber : HM

“Itu azam saya dengan Pahang dan akui ini antara detik terbaik dalam karier dan saya sudah cukup bersedia untuk beraksi kerana rasa semakin matang untuk lebih kerap bermain selepas lalui pelbagai pengalaman dalam beberapa musim ini, ” katanya.