Sukan

Senarai pemain masih kekal ‘misteri’

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman hanya akan mendedahkan senarai lengkap barisan pemain pasukannya bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2021 dalam masa terdekat.

Norizam berkata, barisan kejurulatihan sedang membuat penelitian dan saringan pemain dan berharap penyokong The Red Warriors (TRW) bersabar.

“Sampai masa, saya sendiri akan umum barisan pemain TRW (musim ini). Ketua jurulatih (Marco Ragini) sedang buat kerja, justeru saya harap penyokong bersabar.

“Malah, tarikh akhir pendaftaran pemain Liga M 2021 yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) adalah 19 Februari ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Terdahulu, pasukan Kelantan turut melancarkan jersi baharu bagi saingan Liga M musim ini malam kelmarin dengan harga jualan bermula RM25 untuk edisi peminat hingga RM189 bagi edisi premium.

Sebagai rekod, skuad Kelantan sudah mengesahkan kehadiran empat pemain import baharu bagi menguatkan falsafah bola sepak serta DNA Itali yang cuba diterapkan oleh Ragini musim ini.

sumber : Konline

Pemain tersebut adalah tonggak kelahiran Sepanyol, Mario Arques yang beraksi di posisi tengah, Jack Raymond Hindle dari England (penyerang) dan Christos Intzidis dari Greece (pertahanan).