Sepatutnya Selangor FC mungkin di belakang JDT

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali menyifatkan Selangor FC tidak sepatutnya berada di kedudukan ketujuh Liga Super berdasarkan kualiti barisan pemain yang mereka miliki musim ini.

Sebaliknya, Khalid yang juga bekas pemain Selangor berkata tempat yang sepatutnya dihuni Selangor ketika ini adalah tidak jauh dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga teratas.

Khalid kecewa dengan prestasi Selangor.

Malah, dia mengakui tidak nampak sepenuhnya DNA Jerman dalam pasukan Selangor yang sebelum ini dicanang bakal ditampilkan juara Piala Malaysia 33 kali itu selepas membawa masuk pengendali Karsten Neitzel dan pengarah teknikal, Michael Feichtenbeiner.

“Tak patut (Selangor berada di tangga ketujuh) sebab pemain yang mereka ada semua yang bagus iaitu pemain negara dan pemain muda yang sedang meningkat naik.

“Sepatutnya mungkin di belakang JDT, tangga kedua atau ketiga. Saya nampak mereka boleh jadi pasukan yang baik, mantap dan pencabar.

“Saya tak nampak DNA Jerman dalam pasukan Selangor, mungkin masa menjaringkan gol ketika berdepan JDT saya nampak.

“Jika nak main dengan DNA Jerman, anda kena bermain 110 peratus. Anda kena bagi komitmen dari minit pertama hingga 90 minit dan anda kena betul-betul pantas dan cergas.

“Dengan saya jangan cerita DNA Jerman, saya pernah berlatih di Jerman dan bersama dengan Karl-Heinz Weigang selama lima tahun dan kami layak ke sukan Olimpik,” katanya.

Selain itu, Khalid menganggap pemain import Selangor gagal memberikan impak yang sepatutnya atau mempamerkan persembahan lebih baik daripada pemain tempatan.

Katanya, sikap pemain Selangor yang terlampau mengikut ‘buku’ dan tidak berani membuat keputusan sendiri dalam situasi tertentu juga dilihat antara perkara yang perlu diperbaiki.

“Apa yang saya nampak perlawanan kelmarin (berdepan Kedah), pemain tertekan atau tidak berani membuat keputusan sendiri mengikut situasi. Mungkin mereka terlampau ikut buku yang mana apa yang dibuat semasa latihan dibawa ke perlawanan.

sumber : BH

“Lawan Kedah mereka sepatutnya mendapat dua atau tiga gol lagi, saya nampak keyakinan pemain kurang. Itu yang sepatutnya jurulatih terapkan atau memberi kebebasan mereka bermain walaupun perlu mengikut taktikal atau tanggungjawab yang diberi,” katanya.