Setiap pasukan perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’, Nak kualiti tak boleh ‘diskaun’

Sebarang cadangan untuk merendahkan gaji pemain atau menetapkan nilai siling akan menyebabkan pemain terbaik lari ke negara lain dan Liga Malaysia (Liga M) hilang komersial.

Dalam era bola sepak profesional, mengawal had gaji bukan penyelesaian hanya kerana mahu mengelak berlakunya isu tunggakan atau kegagalan membayar gaji, sebaliknya setiap pasukan perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’ dengan berbelanja mengikut kemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan menegaskan, bola sepak profesional adalah pasaran terbuka dan penetapan gaji pemain dibuat oleh pasukan itu sendiri dan bukan penganjur liga berdasarkan kekuatan kewangan mereka.

“Tidak sesuai untuk adakan harga siling (salary cap) kerana ini perniagaan terbuka, cara ini akan membuatkan nilai komersial kita meningkat kerana berdaya saing.

“Sekiranya gaji pemain ada harga siling, tidak mustahil pemain-pemain yang bagus akan menyertai liga di negara lain dan membuatkan nilai liga di negara ini menurun,” katanya.

Banyak pasukan Liga M berdepan isu pembayaran gaji berikutan tanda aras (bench mark) gaji pemain ditetapkan pada tahap terlalu tinggi.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mewujudkan harga siling untuk pemain kerana gaji yang terlalu tinggi boleh membunuh industri di negara ini.

Katanya, semua pasukan berhadapan masalah pembayaran gaji apabila penanda aras bagi gaji pemain diletakkan lebih tinggi berbanding keupayaan pasukan.

sumber : UM

Penetapan gaji siling bukan perkara asing dalam bola sepak memandangkan beberapa liga turut menggunakan pendekatan sama seperti Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Liga Australia (Liga A) dan Liga Super China (CSL).