Siapa jaguh pantai timur?

Pertembungan Pahang dan Terengganu boleh dianggap saingan untuk merebut gelaran raja bola sepak Pantai Timur.

Tetapi bagi saingan di Stadium Darul Makmur malam esok, pemain Pahang hanya diminta untuk fokus ketika berada di atas padang.

Beraksi di depan penyokong sendiri bukan lagi kelebihan skuad Sri Pahang kerana skuad itu kini berada di kedudukan yang perlu segera diperbaiki.

“Apa yang saya harapkan dari pemain Pahang ialah  kekal fokus tanpa fikirkan perlawanan sebelum ini atau hal luar padang,” kata Dollah Salleh kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tanpa Herold Goulon yang tidak dapat diturunkan selepas menerima kad merah ketika bertemu Kedah, Dollah masih yakin jentera tengah dan pertahanan masih mampu di galas pemain lain.

Biarpun ramai yang meminta peny3rang Yehven Bokhashvili dan Pedro Henrique direhatkan tetapi mereka tetap menjadi taruhan terbaik yang Dollah ada untuk mencetak gol Sri Pahang.

“Saya harap pemain dapat memberi lebih tumpuan untuk menunjukkan aksi terbaik terutama di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Sri Pahang, Datuk Muhammad Suffian Awang meminta penyokong Pahang datang awal ke stadium untuk memastikan prosedur standar operasi (SOP) berjalan lancar.

Beliau berkata, buat masa ini hanya 2,181 penyokong dibenarkan berada di dalam stadium yang mampu memuatkan sehingga 30,000 penyokong.

sumber : UM

“Lima pintu termasuk satu pintu untuk tetamu kenamaan akan disediakan dan penonton perlu awal kerana pintu masuk akan ditutup pada pukul 8.30.malam,” katanya.