Skuad Hijau Kuning Menanti Kelulusan – Aidil

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedang merancang beberapa siri perlawanan persahabatan menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) yang bermula dengan perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 5 Mac depan.

Ketua Jurulatih skuad Hijau Kuning Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya kini sudah mengusulkan beberapa siri perlawanan persahabatan yang diperlukan Kedah sebagai persiapan penting bagi memulakan aksi liga Malaysia yang berbaki kurang dari 20 hari.

“Kita sudah menghantar beberapa cadangan membabitkan perlawanan persahabatan yang diperlukan Kedah dengan beberapa pasukan kepada pihak pengurusan KDA FC.
“Buat masa ini, kita sedang menanti kelulusan dari pihak pengurusan dan pasukan-pasukan yang dirancang itu untuk perkembangan selanjutnya.

“Namun kita juga faham kerana seperti juga pasukan Kedah, pasukan lain juga memerlukan masa untuk berlatih terlebih dahulu sebelum perlawanan persahabatan diadakan kerana semua pasukan hanya dapat memulakan latihan penuh bermula pada 15 Februari ini.” katanya.

Aidil pada masa yang sama melahirkan kesyukuran diatas pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan yang memaklumkan pasukan dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan termasuk kebenaran merentas negeri dalam tempoh terdekat ini dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini satu lagi perkembangan yang baik untuk persiapan pasukan dalam liga, dan dengan kebenaran ini pastinya akan menyuntikkan lagi motivasi terhadap semua pemain untuk memulakan aksi liga pada musim ini dengan penuh semangat.

“Setiap proses latihan dan perlawanan persahabatan yang akan dilalui nanti perlulah dipastikan pematuhan terhadap SOP yang paling ketat seperti yang telah ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua pihak berwajib.

sumber : HM

“Fokus pasukan Kedah kini adalah memastikan semua pemain bebas dari sebarang kecederaan sebelum mengadakan sesi perlawanan persahabatan yang dirancang itu.” katanya.