Sudah biasa main Tak bergaji – Nik Akif

“Nak buat macam mana, kami sudah biasa!”

Itu luahan pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat ketika diminta mengulas mengenai masalah tunggakan gaji yang sedang dihadapi pasukan itu ketika ini, namun situasi itu jelas tidak menghalang mereka daripada menang besar 5-1 ke atas UKM FC, kelmarin.

Pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23) itu berkata, apa sahaja masalah yang membelenggu pasukan itu termasuklah khabar angin yang mengatakan dia akan dijual ‘ditolak tepi’ ke luar padang dengan fokusnya hanya tertumpu pada aksi di atas padang semata-mata.

“Tipulah kalau tidak terkesan dengan masalah gaji. Tetapi nak buat macam mana, kami sudah biasa kerana tahun lalu pun kena (tidak dibayar gaji) dan tahun ini pun sama. Jadi, kami bermain sahajalah masa depan kami.

“Mana tahu kalau ada pasukan luar yang berminat pada kami. Kami buat untuk diri sendiri sahajalah. Perkara ini semua kita tinggalkan di luar padang dan fokus kami hanya untuk memberikan yang terbaik.

“Mengenai itu (berhijrah keluar), sayang juga tetapi tengok keadaan dahulu. Apapun, saya akan buat yang terbaik demi pasukan dan demi negeri saya untuk habiskan musim tahun ini,” katanya yang turut mengesahkan masih memiliki kontrak bersama pasukan itu sehingga tahun depan.

Terdahulu, aksi antara UKM FC menentang The Red Warriors itu menjadi perlawanan pertama selepas aksi Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung dan dilangsungkan dalam kebiasaan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kemenangan itu sudah pasti memberi suntikan motivasi khususnya apabila anak buah Yusri Che Lah itu mendapat kembali tiga mata yang ‘hilang’ selepas dipotong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Dalam masa sama, Nik Akif turut menuntut rakan sepasukannya tidak cepat berpuas hati sekali gus berjaya membuka kembali tirai Liga M dengan mengutip mata penuh dan kemenangan meyakinkan.

sumber : BH

“Walaupun mendominasi perlawanan tetapi saya rasa aksi kali ini belum cukup baik lagi. Kita akan terus tingkatkan prestasi untuk meraih tiga lagi mata pada perlawanan seterusnya,” katanya.