Sukan

Sukar puaskan hati semua pihak

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan prestasi skuad H@rimau Malaya di pentas antarabangsa menjadi perkara paling penting berbanding reka bentuk jersi terbaharu pasukan berkenaan.

Kenyataan beliau itu hadir selepas ‘kulit’ baharu atau jersi skuad skuad kebangsaan yang akan digunakan pada tahun depan itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata sukar untuk mendapatkan satu reka bentuk jersi yang boleh memuaskan hati semua pihak.

“Apa yang penting dengan pelancaran jersi baharu, kita harap pemain yang mewakili pasukan negara akan berasa teruja dengan jersi baharu dan dapat menambahkan motivasi mereka supaya dapat memberi keputusan yang lebih baik.

“Jadi, paling penting prestasi. Saya harap kita lupakan benda ini (soal reka bentuk jersi). Kita fokus beri semangat kepada pemain yang sudah berwajah baru ini.

“Sudah tentu kita bukan saja nak perubahan pada ‘kulit’ (jersi baharu) saja, tapi perubahan itu mesti dirasai oleh pemain dan dapat memberi impak baru kepada pasukan.

“Perlawanan pada tahun depan terlalu penting pada kita. Dengan memakai kulit baharu ini, harap pemain lebih bersemangat untuk membuktikan sesuatu dan memberi kepuasan kepada penyokong,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Jersi baharu H@rimau Malaya yang dilancarkan kelmarin mendapat pelbagai reaksi sama ada pro dan kontra. Paling mendapat tumpuan adalah jersi ‘home’ atau dilaman sendiri yang berwarna kuning-hitam apabila menerima banyak komen positif dan negatif di media sosial.

sumber : BH

Ada juga peminat yang menganggap jersi itu seperti baju rumah sukan di peringkat sekolah manakala ada juga yang menyifatkan reka bentuknya cantik. Paling mendapat pujian peminat adalah reka bentuk jersi penjaga gol. Malah ada yang menganggap ia seakan sama dengan jersi penjaga gol Barcelona.