Sumareh Terus gagal cipta impak

Kelab Thailand, Police Tero FC terus kempunan untuk mencatat kemenangan apabila tewas 0-1 kepada Chiangrai United dalam saingan Liga Satu Thailand yang berlangsung di Stadium Boonyachinda, malam ini.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan Akarawin Sawasdee pada minit ke-43.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan meskipun beberapa usaha tuan rumah hampir meraih gol penyamaan terutamanya di hujung perlawanan.

Tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-78 dengan menggantikan tempat Narong Chansawek, bagaimanapun gagal memberi impak berkesan kepada pasukannya.

Manakala seorang lagi pemain negara yang turut menyarung jersi Police Tero FC, Dominic Tan langsung tidak disenaraikan dalam pasukan untuk aksi terbabit.

Untuk rekod, Police Tero FC gagal mencatat kemenangan dalam tujuh aksi liga setakat ini dengan kali terakhir melakar tiga mata penuh ketika menewaskan Port FC 2-0 pada 13 September lalu.

Ketika ini, skuad The Silver Shields Dragons itu sekadar menghuni tangga ke-10 liga selepas mengharungi 10 aksi dengan mengumpul 15 mata.

Sumber : HM

Selepas ini, anak buah Rangsan Viwatchaichok itu akan beraksi pada pusingan pertama Piala FA menentang Rajpracha di gelanggang lawan, Sabtu ini.