Sunyi hampir setahun, Jeritan penyokong bakal kembali di Stadium

Selepas Liga Malaysia (Liga M) sunyi hampir setahun tanpa sokongan dan jeritan daripada penyokong di stadium, senario itu dijangka berubah apabila kehadiran penonton kemungkinan dibenarkan semula musim ini.

Harapan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan bermula dengan skala kecil jika kes pesakit baharu C0 v!D-19 menurun pada masa akan datang.

Katanya, MFL sebelum ini sudah membuat permohonan kepada pihak kerajaan berkenaan usul membawa masuk penonton berskala kecil kepada Kementerian Belia dan Sukan pada November lalu.

“Tidak dilupakan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama saya sudah membincangkan kemasukan penonton secara berskala di peringkat awal jika kes pandemik Covid-19 menurun pada masa akan datang kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Itulah harapan MFL di mana kami mahu venue diceriakan penyokong bola sepak tempatan,” katanya.

sumber : HM

Sementara itu, dalam perkembangan sama, pihaknya sudah mengeluarkan jadual rasmi Liga M yang bakal membuka tirai dengan perlawanan Piala Sumbangsih menemukan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 5 Mac ini.