Tahniah Pemenang Cipta Logo TRW Kelantan FC

LOGO ciptaan Muhammad Afiff Hakimi Anuar telah menjadi pilihan pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman sebagai logo terbaik yang bakal digunakan skuad The Red Warrios (TRW).

Keputusan logo ini dipilih Norizam atau lebih dikenali ZamSaham dan diumumkan melalui laman rasmi FB TRW Kelantan FC, sebentar tadi.

Selaku pemenang utama, Muhammad Afiff akan menerima wang tunai RM3,000 manakala sembilan lagi pemenang akan akan menerima Jersey ekslusif oleh pihak TRW Kelantan FC.

Berdasarkan penerangan yang diberikan mengenai logo terbabit, 10 belang merah yang sinonim dengan warna bendera Kelantan menunjukkan 10 daerah di Kelantan yang bergabung menyokong kebangkitan pasukan bola sepak kelantan.

Emblem logo yang berbentuk perisai bulat melambangkan era baharu serta visi dan misi yang jelas serta utuh bagi menggapi kejayaan baharu.

Dua jalur separuh bulat di dalam perisai seakan sedang berpusing melambangkan pasukan ini tidak akan mudah menyerah malam mengatur strategi yang lebih baik menentang pasukan lawan.

Dua bintang pula menunjukkan perpaduan antara penyokong dan pasukan bola sepak kelantan manakala lilitan emas melambangkan Kelantan dibawah naungan  sistem beraja.

Pengurusan Kelantan FC juga memaklumkan logo yang dipilih bukan logo muktamad, tetapi akan diubah mengikut kesesuaian dan citarasa pemilik TRW Kelantan FC.