Tak fikir lagi – safawi

Safawi Rasid menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung penghijrahan ke kelab Portugal, Portimonense SC.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia akan mendapatkan pengesahan lebih terperinci sebelum berkongsi kepada semua mengenai masa depannya.

“Setakat ini saya tak fikir lagi untuk pergi ke kelab Portugal. Kalau boleh saya nak fokus kepada JDT, Liga Super dan satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Selepas itu saya fikir yang terbaik untuk kerjaya saya sebagai pemain,” kata Safawi ketika diminta mengulas mengenai kelab Portimonense SC yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Baru-baru ini, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan pasukan itu menerima tawaran daripada Portimonense untuk Safawi dan bersedia melepaskan pemain itu bagi meneruskan kariernya di Eropah.

Malah, perpindahan itu mendapat ‘restu’ pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali gus menyaksikan impian Safawi untuk menggegar bumi Eropah akan menjadi kenyataan.

Difahamkan, kelab berpengkalan di Algarve itu sedia menawarkan kontrak selama semusim kepada pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

sumber :BH

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut berhubung nilai perpindahan ke kelab Portugal itu.