Tak semua perkara yang dikongsi di media adalah benar

Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan khabar angin yang menyatakan pasukan itu sedang mengintai khidmat penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Alawee untuk musim 2021.

Menerusi laman Facebook Zamsaham, Norizam mahukan penyokong supaya hanya mendapatkan maklumat sahih daripada laman rasmi pasukan itu, TRW Kelantan FC.

“Tak betul ni. Tak semua perkara yang dikongsi di media adalah benar. Kepada semua fans, just dapatkan info dari TRW Kelantan FC.

“Untuk semua senarai pemain minggu depan inshaAllah semua akan tahu. Marco Rajini dan team pengurusan terbaru tahu apa yang perlu dilakukan. Doakan yang terbaik dari yang baik,” kata Norizam.

Kenyataan itu dibuat selepas khabar angin ditimbulkan sebuah laman web yang mendakwa bekas penjaga gol Pahang itu akan diikat Kelantan untuk membantu membimbing skuad Kelantan yang dibarisi pemain muda.

“Sharbinee Allawee hampir pasti menjadi pemain ‘otai’ untuk membimbing skuad muda The Red Warriors 2021. GKG!,” kata laman terbabit.

Sebagai rekod, khidmat anak tempatan jelas memperkasa cabaran Kelantan FC selepas mereka dibarisi 90 peratus anak ‘Kelate’ bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menerusi perkongsian Norizam sebelum ini, daripada 31 pemain terbabit, 20 pemain berasal dari Kelantan manakala tiga lagi pemain direkrut dari Kuala Lumpur, Perak dan ‘jiran’ mereka, Terengganu.

sumber : BH

Selain itu, Kelantan FC juga diperkuat dengan seorang pemain Johor dan Pulau Pinang.