Tamparan berganda buat JDT

Mungkinkah Johor Darul Takzim akan menarik diri dan mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini?

Ini berikutan pasukan H@rimau Selatan yang juga satu-satunya wakil negara dalam ACL itu gagal mendapat pelepasan untuk terbang ke luar negara daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Skuad JDT kendalian Benjamin Mora masih ada empat perlawanan peringkat kumpulan untuk diharungi tatkala saingan kembali bersambung minggu depan selepas lama dihentikan.

Baki perlawanan ACL (peringkat timur) akan diadakan di Doha selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berjaya mencapai kesepakatan bersama Persatuan Bolasepak Qatar.

“Polisi kita sama, pintu sempadan kita masih ditutup, maknanya rakyat asing tidak dibenarkan masuk dan rakyat kita tidak dibenarkan keluar.

“Maknanya polisi itu meliputi semua termasuk pasukan bola, iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti itu pergi ke luar negara, dan lagipun kita tak tahu SOP di negara tersebut. Kita tak tahu ada SOP atau takde.

“Jadi kita tidak membenarkan atas alasan polisi sempadan negara ditutup, semua tidak dibenarkan menteri-menteri sekalipun walaupun ada persidangan penting.

“Kementerian Pertahanan misalnya mempunyai persidangan penting melibatkan kerjasama dua hala bersama beberapa negara, mengenai latihan bersama tetapi terpaksa membatalkannya. Jadi bolasepak tidak terkecuali kerana tiada jaminan keselamatan ke atas pemain-pemain,” kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media pada Rabu.

JDT difahamkan merancang berlepas ke Doha pada minggu hadapan tatkala ACL (peringkat timur) akan berlangsung dari 18 November – 13 Disember.

Baki perlawanan JDT adalah dua kali menentang Guangzhou Evergrande (19 November dan 4 Disember); Suwon Bluewings (25 November) serta Vissel Kobe (1 Disember).

Mereka sebelum ini tewas 1-5 kepada Vissel Kobe dan menang 2-1 ke atas Suwon Bluewings, sekaligus menduduki tangga kedua Kumpulan G dengan 3 mata.

Keputusan MKN ini nampaknya menjadi tamparan berganda buat JDT memandangkan hasrat mereka mempertahankan Piala Malaysia juga dilihat samar berikutan pertandingan itu telah diminta ditangguhkan dan berkemungkinan akan dibatalkan sekiranya melangkaui bulan Disember.