Teguran adalah proses Pembelajaran – Luqman

Siapa kata Luqman Hakim Shamsudin dilayan seperti VVIP sepanjang dua bulan penyrang sensasi muda negara itu berada di bumi Belgium bersama kelabnya, KV Kortrijk (KVK) sejak Ogos lalu.

Luqman, 18, yang didakwa sebagai anak emas kepada pemilik KVK, Tan Sri Vincent Tan oleh sesetengah pihak sebaliknya tidak ‘kebal’ apabila dia sering dimarahi ketika latihan apabila melakukan kesilapan.

Pengalaman itu dikongsikan sendiri oleh Luqman yang mengakui pernah dimarahi oleh rakan sepasukan ketika di dalam latihan.

Bagaimanapun, Luqman atau digelar Luqie oleh rakan sepasukannya, menganggap setiap teguran daripada rakan sepasukan adalah proses pembelajaran di mana semangat pemain ketika menjalani latihan cukup tinggi dan boleh diibaratkan seperti sebuah perlawanan.

“Saya rasa bersyukur dapat banyak belajar daripada jurulatih dan pemain senior, memang syukur sangat-sangat. Lepas itu, dia orang ini (rakan sepasukan) jenis semangat nak menang itu penting, tak kisahlah main dalam latihan ke, perlawanan persahabatan ke, semangat dia orang memang tinggi.

“Saya berlatih sekali (pasukan utama) semangat menang dah macam itu (nak menang), dalam perlawanan lagilah tak tahu nak cakap macam mana. Tak kisah kamu siapa, dia orang akan marah saja (kalau buat kesilapan).

“Itu biasa (marah jika buat salah) dan saya ambil ia sebagai pengalaman daripada mereka. Paling terkejut tidak kira berapa umur, selagi buat salah memang akan kena marah. Saya pun kena marah. Kenapa buat macam ini dan itu.

“Tapi macam saya katakan, saya tak kisah sebab saya memang datang nak belajar dan baguskan permainan saya. Saya ambil sebagai ilmu dan pengalaman,” katanya ketika dihubungi oleh Arena Metro.

Ternyata teguran demi teguran yang diterima Luqman akhirnya membuahkan hasil apabila dia diberi kepercayaan untuk turun dalam skuad utama KVK berdepan RSC Anderlecht pada Jumaat lalu.

Meskipun hanya masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubovic, ia dianggap sejarah baharu untuk muncul sebagai pemain pertama Malaysia membuat penampilan dalam liga utama Belgium, Jupiler Pro League.

Walaupun hanya beraksi kira-kira 16 minit terakhir, namun kemasukan Luqman juga dilihat berjaya memberi impak dengan gerakannya membolehkan KV Kortrijk mendapat sepakan penalti pada penghujung perlawanan yang berkesudahan KVK tewas 1-3.

sumber : HM

Luqman yang mengikat kontrak selama lima musim bersama KVK berkata lagi, dia memuji komitmen tinggi pasukan yang berlatih seolah tiada lagi esok hari bagi mereka.