Terima dua pemain dari Accra Lions FC, Selangor II meneruskan ‘DNA Jerman’

Pasukan sokongan Selangor, Selangor II bakal mendapat sentuhan dari Ghana selepas diperkuat dengan dua pemain dari Accra Lions FC iaitu peny3rang, George Attram dan pertahanan, Jordan Ayimbila.

Attram (kiri) dan Ayimbila perkuat Selangor II.

Perkembangan itu diumumkan pasukan divisyen dua Liga Ghana itu menerusi laman Facebooknya semalam yang mengesahkan dua pemain itu akan menyertai Selangor II secara pinjaman.

Pengurus pasukan, Ishmael Hamidu berkata ini adalah kerjasama pertama antara pemain Accra Lions FC dengan pasukan dari Asia selepas kebanyakan pemain mereka sebelum ini melebarkan sayap mereka ke Eropah.

“Kerjasama dengan Selangor FC adalah sebahagian daripada strategi untuk membangunkan Accra Lions FC sebagai jenama yang terkenal di peringkat global.

“Industri bola sepak di Asia juga membangun dengan pesat jadi ini satu keputusan yang baik untuk kami turut menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Kemasukan dua pemain masing-masing berusia 20 dan 19 tahun itu juga menyaksikan Selangor II meneruskan ‘DNA Jerman’ memandangkan jurulatih Accra Lions FC, Rainer Kraft juga berasal dari Jerman.

Jurulatih Selangor, Karsten Nietzel dan Pengarah Teknikal, Micheal Feichtenbeiner juga berasal dari Jerman.

Dengan kerjasama ini juga menyaksikan Selangor II jelas serius untuk membangunkan bakat muda apabila pemain import mereka juga dibarisi dengan pemain berusia bawah 23 tahun (B-23).

sumber : BH

Sebagai rekod, Selangor II menamatkan musim 2020 di tangga ketujuh menerusi empat kemenangan dan satu keputusan seri untuk menghimpun 13 mata.