Terpaksa menerima hakikat JDT lebih mantap – Aidil

Meskipun t3was dan gagal membawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah, pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak tetap memuji pemainnya terutama barisan pertahanan.

Aidil Sharin berkata, kelibat empat pemain tempatan, Rodney Celvin Akwensivie, Syazwan Tajuddin, Rizal Ghazali dan Fairuz Zakaria tidak kekok menghalang gerakan berbahaya barisan serangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun tumpas 0-2 kepada skuad H@rimau Selatan pada aksi sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, pengendali dari Singapura itu tetap bangga barisan pemainnya yang berusaha beri tentangan.

“Di sebalik penguasaan JDT, saya tetap berpuas hati dengan barisan pemain pertahanan yang dibarisi pemain tempatan selepas kami kehilangan Renan (Alves) akibat kecederaan dan mereka menyerap tekanan dan mematahkan serangan berbahaya pasukan lawan.

“Pemain muda seperti Fairuz (Zakaria) bertindak baik untuk menghalang gerakan berbahaya Safawi (Rasid) malah Syazwan (Tajuddin) dan Rodney (Celvin Akwensivie) juga membentuk kekuatan benteng pertahanan.

“Namun akhirnya kita terpaksa menerima hakikat JDT lebih mantap ditambah pula kelebihan beraksi di laman mereka sendiri dan jangan lupa mereka memiliki ramai pemain kebangsaan tapi kami cuba beri tentangan dalam perlawanan itu,” katanya.

Aidil Sharin tetap menerima kekalahan dengan hati terbuka dan ia bukanlah titik noktah sebaliknya bakal beri kekuatan untuk bangkit pada aksi seterusnya dengan mengkaji lebih mendalam kelemahan yang perlu diperbaiki.

Katanya barisan pemain KDA FC kebanyakan muka baharu berbanding skuad bimbingan Benjamin Mora yang sudah beraksi bersama sejak tiga musim lalu dan sudah tentu keserasian antara setiap pemain lebih mantap.

“Bagi KDA FC, kami perlu membentuk kombinasi yang lebih konsisten memandangkan persiapan pada musim ini agak tidak mencukupi kerana dalam permainan bola sepak untuk mendapat keserasian memerlukan masa dan kami harus berkerja lebih keras lagi.

sumber : HM

“Apapun pemain saya sudah beri yang terbaik walaupun dalam tempoh singkat persiapan berdepan JDT dan kami akan cuba meningkatkan kualiti permainan dalam setiap aksi yang diharungi dan ia perlawanan pertama menentang pasukan kuat dan bukan mudah,” kata Aidil Sharin.