Teruja sarung jersi, Tiup wisel

Selain pemain dan peminat, pengadil juga begitu teruja menyarung jersi untuk meniupkan wisel dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula pada 5 Mac depan.

Ini diakui pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Razlan Joffri Ali, 36 yang menyatakan tidak sabar untuk ‘beraksi’ selepas hampir tiga bulan berehat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga bekas pemain bola sepak skuad Olimpik negara pada 2006/2007 kini sedang bersiap sedia untuk kembali bertugas di gelanggang.

“Bukan saya sahaja teruja, tapi rakan-rakan juga tidak sabar untuk bertugas dalam saingan liga paling berprestij di negara ini, lagipun kali terakhir tiup wisel pada November tahun lalu sebelum saingan Piala Malaysia ditamatkan lebih awal bagi membendung penularan wabak pandemik Co v!D-19.

“Bagi memastikan kami benar-benar bersedia untuk kembali ke gelanggang, latihan kecergasan berterusan juga sentiasa diadakan, kami juga turut menjalani ujian kecergasan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum turun ke padang nanti.

“Kami harapkan wabak pandemik C0 v1D-19 cepat berakhir apatah lagi kini negara dalam proses untuk memberikan suntikan vaksin kepada pemain dan juga rakyat, kami juga mahukan kehadiran penonton bagi memeriahkan lagi kejohanan.

“Selain itu saya mahu lihat saingan Liga M terus berlangsung tanpa sebarang ‘kluster’ daripada wabak pandemik itu, justeru semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak saingan ditangguhkan lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, pengadil kelahiran Setiu itu berkata, setiap pengadil mahukan aksi di peringkat tertinggi termasuk dirinya jika diberi peluang dan ruang untuk bertugas dalam saingan Piala Dunia sebagaimana Subkiddin Mohd Salleh, Mat Lazim Awang Hamat dan ramai lagi pengadil dari Malaysia.

“Tapi saya sedar untuk melangkah ke peringkat itu masih banyak cabaran yang perlu saya tempuhi selain perlu tingkatkan prestasi, jadi perkara itu memakan masa selain perlu lalui satu persatu sebelum terpilih,” katanya.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan Banggol, Setiu yang memulakan karier bola sepak dengan skuad Piala Presiden Terengganu pada 2003 pernah menyarung jersi pasukan PKNS FC, Proton FC dan terakhir Sime Darby FC pada 2011 sebelum mula menceburi bidang pengadilan bermula 2013 sebagai pengadil Liga Negeri Selangor, pengadil kebangsaan pada 2015 sebelum dinaikkan ‘pangkat’ sebagai pengadil FIFA pada 2018 sehingga kini.

Mengenai pembabitannya dalam dunia pengadilan, bekas pemain pertahanan pasukan Selangor itu berkata peluang itu hadir secara kebetulan tanpa dirancang.

“Rakan sekerja mengajak untuk menyertai kursus pengadilan, ketika itu saya sudah mempunyai lesen kejurulatihan bola sepak kelas C, tapi saya gagahi untuk mengikut kursus itu dan bermula daripada situ saya tidak menoleh ke belakang lagi, malah akhirnya bakat saya dapat dikesan panel pengadil FAM sehingga kini sebelum menjadi pengadil FIFA bermula 2018 selain terpilih sebagai pengadil elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

sumber : HM

Berdasarkan rekod, beliau pernah mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah, Piala Sumbangsih 2020 (JDT dengan Kedah), penolong pengadil final Piala Malaysia 2019 (JDT menentang Kedah) dan penolong pengadil final Piala FA 2019 pertemuan Perak dengan Kedah bergandingan dengan tiga lagi pengadil jemputan dari Jepun diketuai Takuto Okabe.