Teruk dikritik Penyokong, Legenda ‘double treble’ Kedah tampil beri sokongan

Legenda ‘double treble’ Kedah Nelson San Martin tampil melaungkan ucapan sokongan dan semangat buat kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Baddrol Bakhtiar yang sebelum ini dikritik segelintir penyokong berkaitan prestasi semasa.

Kritikan yang dipaparkan di media sosial terhadap prestasi semasa Baddrol beberapa hari lalu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang kebanyakan penyokong Kedah yang masih menghargai usaha serta sumbangan besar yang dicurahkan Baddrol dalam arena bola sepak di Malaysia dan Kedah selama ini.

Nelson yang juga bekas ketua jurulatih Langkawi City FC (LCFC) pada musim 2020 dan rakan seperjuangan Baddrol musim 2006 hingga 2008 itu memuat naik ucapan motivasi dan keyakinannya di media sosial khusus untuk menguatkan lagi semangat Baddrol pada aksi musim ini.

“Ini satu laungan sokongan buat Baddrol Bakhtiar. Anda adalah salah seorang pemain bola sepak yang terbaik di Malaysia, dan anda juga adalah pemain terbaik di Kedah.

“Simpan kata-kata ini dalam diri anda, bersabarlah, dan teruskan usaha serta bekerja keras untuk mencari kejayaan.

“Jika dengan usaha yang dilakukan selepas ini, hasilnya pasti akan datang.” katanya.

Selain usahanya yang gigih dalam membantu pasukan Kedah mencapai beberapa kejayaan meraih Piala Malaysia dan Piala FA beberapa tahun kebelakangan ini, pemain senior berusia 33 tahun ini juga adalah mentor buat ramai pemain muda dalam skuad Hijau Kuning.

sumber : HM

Kejayaan itu terus dibuktikan apabila Baddrol dinobatkan sebagai legenda paling unggul Kedah untuk tempoh sedekad selepas namanya meraih pilihan tertinggi dalam senarai Anugerah Pemain Terbaik Sedekad 2011 hingga 2020 untuk Kedah (Player Of The Decade (2011-2020) yang dikelolakan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan LOTTO MY.