TFC hampir menangis di laman sendiri

Terengganu FC (TFC) hampir menangis sebelum Jordan Mintah muncul penyelamat untuk mengikat Melaka United FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Keputusan seri itu adalah keempat berturut-turut buat Melaka United manakala TFC berjaya mengelak rekod tanpa kalah lebur di laman sendiri selepas empat perlawanan.

Terdahulu TFC dikejutkan dengan jaringan seawal minit kedua menerusi sepakan penalti pemain import kelahiran Brazil, Alex Goncalves yang mudah memperdaya penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.

Penalti itu diberikan pengadil, Noor Azriel Baharudin selepas bola hantaran lintang S Kumaahran dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah singgah di tangan pemain pertahanan, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

Selepas jaringan itu, skuad Hang Tuah kendalian Zainal Abidin Hassan dilihat lebih bernafsu dan hampir menambah jaringan kedua menerusi rembatan Sony Norde pada minit ke-15 dan 16, namun berjaya ditampan penjaga gol sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Sepanjang babak pertama, skuad P3nyu kerap ditekan selain serba tidak menjadi termasuk sukar untuk menembusi benteng pelawat yang diketuai import Korea Selatan, Sukwon Jang.

Bersambung babak kedua, Nafuzi mengubah taktikal dengan membawa masuk dua arkitek baharu, Faiz Nasir dan Azalinullah Mohamed Alias serta pertahanan, Muhamad Arif Fadzillah Abu Bakar bagi menggantikan Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhamad Hafizal Alias.

sumber : BH

Perubahan itu membuahkan hasil apabila Mintah yang mendapat umpanan daripada Dechi Marcel berjaya melepasi kawalan Razman Roslan sebelum melakukan sepakan leret pada minit ke-66 untuk menyamakan kedudukan 1-1.