TFC lamar bekas tonggak Kelantan

Bekas tonggak Kelantan, Shahrul Nizam Ros Hasni menjadi pemain kedua dilamar Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Sebelum ini, TFC yang dibimbing Nafuzi Zain mengikat bekas pemain sayap Pahang kelahiran Pulau Pinang, Faisal Abdul Halim selama dua tahun.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd hari ini, bekas pertahanan tengah skuad The Red Warriors dan tonggak kebangsaan Bawah 23 Tahun itu juga diikat selama dua tahun.

“Kita mengalukan kehadiran pemain berusia 22 tahun itu, apa yang kita harapkan pemain lebih mesra dipanggil `Nijey’ itu dapat membantu TFC mengharungi saingan Liga M yang pasti lebih mencabar musim depan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini pemain berketinggian 1.71 meter yang mula menyarung jersi negeri kelahirannya sejak 2018 juga dikatakan dipancing beberapa pasukan lain, namun kejayaan skuad Penyu mara ke pentas Piala AFC mendorong pemain itu berkelana ke Terengganu musim depan.

Sementara itu, Nafuzi menjelaskan kelibat Shahrul Nizam sudah diintai ketika pemain itu membarisi Kelantan dan skuad kebangsaan lagi.

“Dia ada pengalaman beraksi di peringkat domestik dan antarabangsa, jadi sudah tentu kehadirannya akan memperkuatkan lagi pasukan terutama selepas ketiadaan pemain berpengalaman Nasrullah Haniff Johan musim depan.

“Saya harapkan dia dapat segera menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan sekali gus membantu TFC dalam saingan Liga M dan Piala AFC, lagipun dia pemain berpotensi untuk diketengahkan,” kata Nafuzi.