Tidak Berminat bersaing dengan JDT

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menegaskan masih terlalu awal untuk pasukannya dilabel sebagai pencabar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut takhta Liga Super musim ini.Nafuzi Tidak Berminat Bersaing Dengan JDT, Tegaskan Perjalanan Liga Masih Panjang

Menurut Nafuzi, perjalanan liga musim ini masih lagi panjang dan beliau mahu anak-anak buahnya untuk memberikan perhatian penuh kepada setiap perlawanan yang telah dijadualkan.

Tiga perlawanan (tanpa kalah) bagi saya terlalu awal, kita masih ada (baki) 19 perlawanan lagi untuk dihadapi. Kita bukannya mahu bersaing dengan JDT, apa yang penting kita fokus kepada persiapan perlawanan demi perlawanan, tiga perlawanan sudah selesai. Alhamdulillah, (kita) fokus kepada perlawanan seterusnya.

Akhir sekali, kita akan melihat kedudukan kami di bulan Ogos untuk mengetahui pasukan kita bagus atau tidak. Kalau kita berada di tangga teratas maknanya pasukan kita bagus, katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Perak semalam.

Kemenangan ke atas Perak membolehkan Terengganu menghuni tangga kedua dan berkongsi 9 mata dengan pendahulu iaitu skuad JDT yang turut merekodkan 100% kemenangan pada tiga perlawanan liga setakat ini.

Pada perlawanan liga seterusnya, Terengganu akan berdepan Melaka United di halaman sendiri iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.