Tidak bernasib baik dengan penalti, Bojan enggan ‘s3rang’ pengadil

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak kecewa dan sukar menerima hakikat skuadnya yang sudah berada di ambang kemenangan, terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), malam tadi.

Kekalahan yang hanya hadir dalam tempoh beberapa minit sebelum perlawanan hampir tamat itu jelas meranapkan impian pasukannya yang hampir membawa pulang tiga mata.

“Kita mendahului Kedah dengan 2-1 hingga hampir hujung perlawanan, namun dua gol yang dihasilkan Kedah melalui penalti dan jaringan beberapa saat sebelum tamat perlawanan telah memusnahkan harapan kami untuk memenangi perlawanan ini.

“Saya rasa kami berhak memenangi perlawanan ini dan tiada apa lagi yang dapat saya katakan dan pemain saya juga memberi aksi yang maksimum hinggalah minit terakhir kami dibolosi”. katanya.

Bojan juga berkata, pemainnya sudah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.

“Kami tidak bernasib baik dengan penalti dan gol lewat yang terhasil, namun kita tahu Kedah memiliki pemain yang lebih baik dan Kedah ada bajet empat kali lebih besar daripada kami,” katanya.

Sambil menyifatkan keadaan yang tidak sepatutnya berlaku dan enggan memberi komen lanjut, beliau bagaimanapun tetap akur dengan kekalahan itu.

“Anda boleh lihat sendiri dengan keadaan yang berlaku dalam empat ke lima perlawanan sebelum ini, namun saya tak dapat komen apa yang diputuskan pengadil.

“Saya selalu berdiam diri dan tak mahu komen mengenai keputusan yang dibuat pengadil, jadi tiada apa yang dapat saya katakan.

“Saya juga kecewa dengan penalti yang diterima pada saat akhir ketika bertemu Melaka United sebelum ini dan saya tidak mahu komen mengenai perkara itu,” katanya.