Tidak mustahil JDT terus memegang status Juara – Khalid

Tidak mustahil Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memegang status juara Liga Super bagi tempoh lima hingga 10 tahun lagi sekiranya pasukan lain tidak melakukan perubahan yang positif.

Pandangan itu disuarakan legenda bola sepak negara, Khalid Ali dengan melihat prestasi konsisten yang dipamerkan JDT terutama selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Beliau mendakwa mentaliti pemain pasukan lain yang goyah apabila berdepan JDT dianggap menjadi antara punca mereka sukar untuk mengatasi cabaran Harimau Selatan.

“Pasukan yang bertemu dengan dia (JDT) automatik akan hilang keyakinan 40 hingga 50 peratus. Sebab mereka anggap JDT pasukan terhandal dalam Malaysia, automatik kalau kalah pun mereka tak rasa malu atau segan.

“Itu sikap dan pemikiran pasukan lain, sepatutnya kita mesti mempunyai semangat yang tinggi apabila bermain dengan JDT. Kita kena bermain habis-habisan kerana apabila menang dengan JDT bermakna kita boleh dikatakan pasukan yang mencabar pasukan lain.

“Saya nampak daripada tujuh, lapan tahun lalu, siapa saja pasukan apabila jumpa JDT mereka akan rasa kalah. Macam perlawanan malam tadi, saya tengok pemain Kedah tidak memberi persembahan yang boleh dikatakan mencabar pada JDT dan hanya masa sahaja menentukan JDT akan menjaring gol.

“Begitu juga macam kami bermain dulu, jika berdepan Selangor, 30 hingga 40 peratus keyakinan (pasukan lawan) hilang. Saya dulu pun dapat merasai juga, bila jumpa Selangor saja mereka akan berasa ketakutan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Aksi memukau JDT berdepan Kedah yang menyaksikan mereka berjaya merangkul kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali keempat berturut-turut memberi bayangan mereka juga boleh mempertahankan gelaran Liga Super kali kelapan berturut-turut sejak 2014.

Selain itu, Khalid menegaskan pasukan lain perlu melakukan perubahan sekiranya mahu menamatkan dominasi JDT dalam kancah bola sepak tempatan.

“Pasukan lain kena berubah, kalau masih lagi pasukan lain yang berlawan dengan JDT ambil sambil lewa, saya rasa tiada masalah lagi lima hingga 10 tahun (JDT kekal juara Liga Super).

“Saya rasa semangat Selangor, Pahang dan mungkin Perak (mampu cabar JDT musim ini). Tapi hala tuju JDT tampak bukanlah saingan tempatan, tapi lebih kepada ACL (Liga Juara-Juara Asia).

sumber : BH

“Baguslah itu satu-satunya pasukan yang berbelanja untuk menaikkan imej bola sepak negara. Malah, pembentukan pasukan JDT saya rasa lebih profesional daripada pasukan lain,” katanya.