Tindakan tegas dan pelesenan kelab, Tunggakan gaji RM9 juta selesai

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan lebih RM9 juta membabitkan kes tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dapat diselesaikan hasil daripada tindakan tegas dan pelaksanaan pelesenan kelab.

Angka itu membabitkan jumlah yang sudah dibayar serta mendapatkan Statutory Declaration (SD) atau akuan berkanun antara pasukan bersama pemain dan pegawai terbabit.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan jumlah yang diselesaikan itu membabitkan kes tunggakan gaji pasukan Kelantan, Pahang, Melaka, FELDA United FC, PDRM, Pulau Pinang dan Sabah.

Stuart berkata, ia turut merangkumi 39 kes pada 2019 dan 26 kes tahun ini yang dilaporkan kepada FAM dan keputusannya sudah diputuskan oleh badan induk itu.

Katanya, daripada jumlah itu 58 kes berjaya diselesaikan membabitkan nilai RM8.129 juta selain penyelesaian proaktif atau SD sebanyak 297 kes berjumlah RM912,717.

“Sekarang ini hanya ada tujuh kes aktif di FAM, selepas penyelesaian menggunakan kuasa dalam pelesenan kelab serta kuasa (hukuman) penolakan mata yang dikeluarkan sebelum ini.

“Inilah penyelesaian yang dapat diselesaikan dalam masa terdekat, jadi anda tahu banyak kes dapat diselesaikan dengan menggunakan kuasa jawatankuasa, pelesenan dan SD untuk memberi kepentingan hutang ini dibayar.

“Ia juga bukti kepada tiga keputusan yang dikeluarkan oleh FAM tahun ini. Kita tidak mengambil ringan proses SD ini yang mana dengan penolakan mata terhadap tiga pasukan (PDRM, Melaka dan Kelantan),” katanya.

Stuart memberi penjelasan terperinci itu menerusi pembentangan kepada pihak media sebelum sidang media mengenai pelesenan dan penswastaan pasukan Liga Malaysia (Liga M) di Wisma FAM, semalam.

Selain itu, tujuh kes yang masih aktif membabitkan tiga daripada pasukan Kelantan dan selebihnya Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah, PDRM dan Perak.

Kes berkenaan sudah berada di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan hanya satu kes membabitkan PDRM berada di Jawatankuasa Status FAM.

Mengenai kes JDT, Stuart berkata ia bukan membabitkan isu tunggakan gaji pemain, tetapi tunggakan bayaran kepada kelab Atletico Palmira.

“Untuk JDT, mereka tidak mempunyai bank pembayaran untuk dibuat yang mana mereka sudah berhubung dengan kelab ini.

sumber : BH

“Ia lebih kepada pembayaran pembangunan, tapi kelab itu tak bagi maklumat pembayaran, bank yang boleh dibuat pembayaran. Jadi, ia tergantung sudah lama,” katanya.