Tomas Trucha memohon maaf

Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha memohon maaf selepas pasukannya gagal meraih kemenangan di gelanggang sendiri apabila diikat Sabah FC 1-1, semalam.

Satu mata yang diraih di Stadium Bandaraya itu turut menyaksikan skuad H@rimau Kumbang melepas peluang keemasan merampas kedudukan kedua Liga Super dari Kedah Darul Aman FC (KDA).

Trucha bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemainnya yang berusaha keras mengelak daripada Penang mengalami kekalahan selepas Sabah berada di depan hasil jaringan Saddil Ramdani pada minit ke-52.

“Kami juga mahukan tiga mata, saya hanya boleh katakan ‘maaf’ mengenai perkara itu. Saya percaya pemain sudah memberikan yang terbaik.

“Kadang-kadang dalam bola sepak anda boleh kalah, boleh menang atau seri. Tapi ia tetap mewujudkan emosi yang positif dalam stadium kerana kami berjaya menyamakan kedudukan.

“Maaf, kami akan bagi tiga mata dalam perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Penang yang juga pendatang baharu Liga Super kini berada di kedudukan keempat dengan 15 mata, manakala Sabah yang masih bergelut dengan prestasi tidak menentu menghuni tangga ke-10 selepas mengumpul enam mata dari lapan perlawanan.

Sementara itu, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya hingga berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan.

sumber : BH

“Syukur atas satu mata di gelanggang lawan yang mana ia sangat penting bagi kami. Terima kasih kepada pemain yang mempamerkan persembahan luar biasa mengikut perancangan kerana kita sudah membuat analisis permainan Penang,” katanya.