Sukan

Trio import TBG tiba esok

Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic akan pulang ke Ipoh, Sabtu ini selepas bercuti di Melbourne sejak 20 November lalu.

Tiga pemain import, Leandro Dos Santos, Raianderson Da Costa Morais atau Careca dan Guilherme De Paula tiba esok.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Adly Shah Ahmad Tah memberitahu, sekembalinya di Ipoh mereka akan menjalani kuarantin selama 7-10 hari.

“Itu SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi. Jika membuat ujian calitan di negara asal tempoh kuarantin hanya tujuh hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Adly berkata, latihan pasukan bagaimanapun sudah bermula sejak Selasa lalu di bawah kendalian penolong jurulatih, Shahril Nizam Khalil.

Katanya, kecuali pemain import, semua pemain termasuk tiga muka baharu, dua dari Kedah iaitu Shakir Hamzah dan Muhammad Azri Abdul Ghani serta bek kanan UiTM FC, Danish Haziq Saipul Hisham sudah menyertai pasukan itu.

Menurut pengurus Perak itu, pasukan akan berlatih di Padang latihan Chepor serta Stadium Perak.

“Itu dua venue latihan pasukan untuk musim 2021,” katanya.

Adly berkata, pasukan Perak FC II juga akan memulakan latihan bermula Isnin .

sumber : UM

“Mereka akan berlatih di Padang Pernama, Jalan Ashby, Ipoh di bawah kendalian Syamsul Saad,” katanya.