TRW Lepas Geram

Isu kelewatan pembayaran gaji tidak menghalang pasukan Kelantan untuk memulakan kembali saingan Liga Premier dengan langkah kanan selepas menewaskan kelab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang petang tadi.

Pada aksi tersebut, skuad kendalian Yusri Che Lah tidak mempunyai masalah untuk mendominasi awal perlawanan menerusi dua pemain berpengaruh, Nik Akif Nik Mat dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang bijak merencana serangan.

Susulan itu, skuad The Red Warriors berjaya meraih gol pembukaan menerusi sepakan percuma yang dilakukan pemain sayap kiri, Muhamad Hakimi Abdullah pada minit ke-27.

Namun, kelebihan Kelantan tidak bertahan lama apabila pasukan tuan rumah berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang berjaya disudahkan tonggak import, Akanni Sunday Wasiu pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Hakimi sekali lagi membuktikan ketajamannya di hadapan gol apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-52.

Pasukan gergasi Pantai Timur itu bertambah garang apabila menambah gol ketiga, kali ini menerusi percubaan penyerang import, Felix Chidi Olidi pada minit ke-65.

Olidi memastikan gawang UKM FC yang dikawal penjaga gol, Mohd. Remezey Che Ros bolos buat kali keempat selepas berjaya menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Lazarus Kaimbi pada minit ke-79.

Hakimi memastikan dirinya tidak terlepas peluang untuk mencetak nama selaku penjaring hatrik apabila bijak menyudahkan peluang hasil gerakan solo pada minit ke-88 sekali gus meledak gol kelima buat Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *