Tunaikan tanggungjawab, bayar gaji – PFAM

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengingatkan setiap pasukan supaya menunaikan tanggungjawab membayar gaji pemain seperti yang termaktub di dalam kontrak, walaupun saingan Piala Malaysia dibatalkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan berkenaan turut menuntut pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji untuk melunaskannya dengan segera, sebelum bermulanya saingan musim 2021.

“PFAM ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) yang diterajui oleh Datuk Hamidin Mohd Amin. Sememangnya keputusan yang dibuat ini bukanlah satu keputusan yang popular, tetapi ia satu keputusan yang perlu dibuat.

“Sehubungan itu, PFAM mengharapkan agar saingan bola sepak Malaysia ‘norma baharu’ dapat dijalankan pada musim hadapan mengikut perancangan yang direncanakan. Jadikanlah apa yang berlaku pada musim ini sebagai proses pembelajaran untuk semua pihak bagi menambah baik ekosistem bolasepak tempatan,” katanya.

Semalam, MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan mengumumkan pembatalan saingan Piala Malaysia berkuatkuasa serta merta selepas kerajaan tidak membenarkan kejohanan itu dilangsungkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menerusi kenyataan sama, PFAM menganggap keputusan pembatalan Piala Malaysia itu sebagai langkah yang munasabah demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Sepertimana yang dimaklumkan dalam kenyataan MFL, sememangnya menjadi kerisauan besar daripada PFAM sekiranya saingan Piala Malaysia ditundakan lagi ke bulan Disember 2020.

“Hal ini memandangkan kontrak pemain yang berakhir pada 30 November 2020. Perkara ini akan menimbulkan situasi yang rumit, yang tentu sekali akan mempengaruhi kedudukan hak dan kebajikan pemain.

“PFAM sedia maklum keputusan ini dibuat setelah pihak MFL mengambil kira pelbagai aspek secara terperinci, demi mengelakkan permasalahan yang lebih besar berlaku di masa hadapan,” katanya.