Ubi muda selangor sedia dinaikkan pangkat – Michael Feichtenbeiner

Selepas enam ‘ubi muda’ diberi peluang membarisi skuad senior Selangor bagi saingan Liga Super, pemangku jurulatihnya, Michael Feichtenbeiner bersedia ‘menaikkan pangkat’ beberapa lagi pemain Selangor II selepas ini.

Pengendali dari Jerman itu mengesahkan beberapa pemain dari skuad pembangunan itu akan dipanggil untuk memperkasa skuad utama bagi persiapan mengharungi saingan Piala Malaysia pada bulan depan.

“Saya akan panggil beberapa lagi pemain dari Selangor II dan memberi peluang kepada mereka menyertai pasukan utama supaya mereka mendapat pengalaman diperlukan.

“Jadi, mereka perlu buktikan kemampuan untuk bersaing dengan pemain senior yang ada dalam pasukan. Saya gembira kerana ini akan memberi ruang untuk mereka mengutip pengalaman bersama pasukan utama,” katanya.

Sebagai rekod, enam pemain daripada Selangor II membuat penampilan dalam skuad utama pada musim ini iaitu Zikri Khalili, Azrin Rusmini, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal Lau, Anwar Ibrahim dan Zahril Zabri.

Semua pemain itu adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 21 tahun.

Dalam perkembangan sama, Feichtenbeiner menjelaskan barisan pemain lain dalam Selangor II tetap diberi ‘kerja rumah’ sekalipun musim mereka sudahpun berakhir memandangkan tidak beraksi dalam Piala Malaysia.

“Pemain akan menjalani latihan secara individu namun tanpa sebarang tekanan kerana tiada persiapan untuk aksi kompetitif dan kita sudah mengenalpasti kelemahan mereka.

sumber : BH

“Jadi apabila liga bermula kembali pada musim baharu nanti, kelemahan itu dapat diperbaiki dan mereka boleh tampil dengan lebih baik,” katanya.