Sukan

Walaupun Banjir padang tidak terjejas

Padang Stadium Darul Makmur (SDM), di sini tidak terjejas walaupun berlaku banjir di pusat bandar itu, baru-baru ini.

Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Mohd Izzuddin Mohd Kenali berkata, keadaan padang tidak mengalami sebarang kerosakan.

Katanya, ketika ini, pihaknya sentiasa memantau keadaan padang rumput itu untuk memastikan permukaan padang berada dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, kita tidak dapat melakukan pemotongan rumput ketika ini kerana keadaan tanah lembab kerana hujan lebat berterusan di daerah ini sepanjang minggu ini.

“Setakat ini, sistem perparitan berjalan lancar dan diharapkan keadaan padang rumput stadium tidak terjejas.

“Pada masa sama, ia sebagai persiapan untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) nanti membabitkan pasukan Sri Pahang FC,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Izzuddin berkata, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan pemeriksaan padang dan kemudahan termasuk bilik persalinan di SDM pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, pegawai MFL tidak sempat untuk melakukan pemeriksaan lampu limpah stadium berikutan hujan lebat pada tarikh itu.

sumber : HM

“Oleh itu, MFL akan memaklumkan tarikh baharu untuk pemeriksaan lampu limpah,” katanya.