Zamsaham ‘tok saye duit’

Penyokong setia The Red Warriors (TRW) sejak era 1960-an, Mohammad Salahuddin Latiff , 71, percaya, pasukan disayanginya akan bersinar kembali di bawah usahawan terkenal, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Salahuddin yang mesra disapa Pok Lah yakin, pandangan jauh Zamsaham mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.

Katanya, dia amat kagum dengan kesungguhan pakar pelaburan itu  mengambil alih Kelantan hingga sanggup menyelesaikan semua masalah kewangan serta membayar hutang lapuk gaji pemain.

“Ikhlas dari hati Pok lah melihat Zamsaham ‘tok saye duit’ dan beliau mempunyai perancangan lengkap untuk mengembalikan kegemilangan Kelantan.

“Impian Pok Lah ingin melihat Kelantan kembali terkenal dan hebat. Saya yakin Zamsaham akan merealisasikan perkara itu.

“Kelantan mempunyai ramai pemain hebat dari dulu lagi, namun ada sesetengah pihak  menghancurkan kehebatannya dengan pengurusan tidak betul.

“Jika pengurusan baik, jujur dan bijak maka hebatlah pasukan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedai kopi miliknya di Jalan Long Yunus baru-baru ini.

Jelasnya, kesungguhan Zamsaham terus dilihat apabila terbaharu beliau serius memperkasakan TRW dengan membawa barisan kejurulatihan terbang ke Eropah untuk berguru dengan Cardiff City FC.

SALAHUDDIN LATIFF

Kata Pok Lah, dia sudah 53 tahun menyokong Kelantan semasa stadium mula dibina di Jalan Merbau Kota Bharu hanya berpagarkan guni besar.

Dia sanggup menghabiskan wang ringgit mengikuti TRW ke mana sahaja, termasuk ketika bermain di arena l@wan, dan Kelantan mempunyai ramai penyokong setia sepertinya yang sentiasa berada di belakang waktu jatuh bangun pasukan.

Sementara itu, mengimbas kenangan 1971 ketika Kelantan menentang Perak,  kekecohan berlaku melibatkan penyokong kedua- dua pasukan sehingga menyebabkan dia terkena gas pemedis mata, namun insiden itu tidak pernah mematahkan semangatnya terus memberi sokongan.

“Pada masa itu Kelantan t3was 2-1 sehingga berlaku kekecohan dan harga tiket masuk stadium hanya RM1 untuk kanak-kanak.

“Pemain terkenal ketika itu adalah Allahyarham Salleh Ibrahim anggota skuad negara di Sukan Olimpik Munich 1972 dan Hamid Ramli.

“Saya setiap petang ke stadium melihat pemain berlatih untuk memberi sokongan tapi sekarang saya tidak boleh beri tumpuan kepada pasukan Kelantan sejak diserang strok. Saya hanya mampu menguruskan perniagaan kedai kopi,” ujarnya.

Kata Pok Lah, sebagai penyokong lama dia turut berharap pemain sekarang mengikut sikap-sikap terpuji  pemain lama dalam menghargai penyokong.

sumber : UM

Sebagai contoh pada era 70-an pemain-pemain ketika itu sanggup datang kepada penyokong di bangku untuk beramah mesra, berbual dan berbincang sehingga membentuk nilai kasih sayang terhadap pasukan.