Sukan

Azmeer luah rasa terkilan

Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional bagi menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan dan Pusat Pengajian Ameer Yusof (PPAY) yang diusahakannya ketika ini.

Azmeer, 30, yang memulakan kerjaya bersama pasukan Kuala Lumpur pada 2008, berkata dia memang berhasrat untuk menamatkan kerjayanya selepas beraksi dengan Kedah.

“Saya Azmeer Yusof ingin mengumumkan secara rasminya bersara daripada bola sepak profesional dan untuk peminat di luar sana, saya berharap semua dapat terima keputusan saya ini dan saya minta maaf ┬ákerana tidak dapat meneruskan apa yang kalian doa dan harapkan untuk saya teruskan dalam bola sepak.

“Separuh umur saya melibatkan diri dalam arena bola sepak tempatan dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya berundur daripada bidang bola sepak ke bidang keusahawan dan kebajikan Islam dan memang impian saya mahu bersara selepas saya menyertai Kedah FA dan impian itu kini tercapai,” katanya.

Selain Kuala Lumpur dan Kedah, Azmeer turut pernah menyarung jersi lima lagi pasukan dalam saingan Liga Malaysia – Proton, Perak, Pos Malaysia, Negeri Sembilan dan ATM.

Ketika bersama Kedah, dia membantu skuad Lang Merah menjulang Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA 2019 selain. Dia turut membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana pada 2017.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Taiping, Perak itu turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat mewakili negara selepas 12 tahun bergelar pemain bola sepak profesional.

“Antara perkara yang belum saya capai adalah mewakili negara kerana itu adalah impian saya sejak kecil dan saya memiliki minit permainan yang melebihi sesetengah pemain yang terpilih namun, saya anggap itu sebagai tiada rezeki.

sumber : BH

“Pada pendapat saya, bab pemilihan pemain untuk mewakili negara ini sewajarnya dipilih berdasarkan minit permainan seseorang pemain itu dan ini perlu diutamakan dan diambilkira sebelum pertimbangan lain oleh jurulatih,” katanya.