Sukan

Bakal jadi pemilik Kedah, apa yang pasti syarikat ini bukan milik ‘tauke’ kosmetik

Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat dari Kuala Lumpur yang menunjukkan minat untuk membeli saham syarikat Darulaman FC Sdn. Bhd. (DFCSB) yang dipegangnya ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini, MBI sedang meneliti tawaran dibuat syarikat tersebut yang dilihat memiliki kemampuan kewangan kukuh.

“Kita akan jual jika kena dengan harganya. Nilai keseluruhan saham DFCSB dianggarkan RM30 juta dan (kalau) 80 peratus yang dipegang MBI Kedah, nilainya kira-kira RM26 juta.

“Belum pasti sama ada syarikat tersebut mahu membeli keseluruhan 80 peratus saham DFCSB yang dipegang MBI Kedah atau kurang daripada itu. Rundingan masih berjalan dan kita bersedia membuat pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

DFCSB merupakan syarikat yang mempunyai hak ke atas pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC setelah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melengkapkan proses penswastaan pasukan pada akhir September lalu.

Sebanyak 80 peratus pegangan saham syarikat itu dimiliki MBI Kedah manakala 20 peratus lagi masih menjadi milik KFA.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini, beliau masih belum mahu mendedahkan nama syarikat tersebut.

“Apa yang pasti syarikat ini bukan milik ‘tauke’ kosmetik.

sumber : UM

“Dalam masa sama, saya ingin nyatakan bahawa kita dalam peringkat akhir untuk menentukan barisan jurulatih dan pemain. Insya Allah, kita akan umumkan perkara itu dalam sedikit masa lagi,’ katanya.