Sukan

Berkelana ke TFC bukan faktor gaji

Bukan faktor gaji sebaliknya teruja beraksi di pentas Asia selain mahu mengembangkan lagi karier bola sepaknya mendorong Faisal Abdul Halim berkelana ke Terengganu FC musim depan.

Tertarik dengan corak latihan pengendali, Nafuzi Zain turut menjadi faktor pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Mickey’ itu menolak tawaran empat pasukan lain termasuk bekas pasukannya, Pahang.

“Keputusan memilih TFC adalah tindakan yang tepat walaupun menerima empat lagi tawaran, saya pilih pasukan itu bukan disebabkan faktor gaji, tapi teringin untuk beraksi di pentas lebih tinggi sekali gus ianya mampu mengembangkan lagi karier bola sepak saya bersama TFC dan juga pasukan kebangsaan.

“Selain itu taktikal dan ‘game plan’ jurulatih, Nafuzi yang bagi saya mampu mengubah corak permainan juga antara sebab saya memilih TFC selepas lima musim bersama skuad Tok G@jah.

“Jika menjadi kenyataan, pentas Piala AFC tahun depan adalah penampilan pertama saya sepanjang karier, harapan saya agar mampu menyesuaikan diri dengan cepat corak permainan pasukan, tapi saya rasa tiada masalah lagipun saya pernah bermain bersama Faiz Nasir dan Arif Fadzilah Abu Bakar,” katanya kepada Sukan NSTP.

Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia sedar bukan tugas mudah dan tiket untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan lebih-lebih lagi skuad TFC mempunyai ramai pemain muda berbakat selain tonggak import walaupun berstatus pemain baharu.

“Saya boleh rasakan sudah pasti ada saingan sengit untuk berada dalam kesebelasan utama kerana masing-masing sudah pasti akan memperagakan aksi terbaik mereka, begitu juga tonggak import.

“Tapi saya akan jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk pamer aksi terbaik sama ada ketika latihan ataupun dalam permainan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

sumber : HM

Faisal yang menandatangani kontrak bersama pasukan itu semalam bakal memakai jersi nombor tujuh yang sebelum ini menjadi milik kapten, Tuck yang berhijrah ke Pahang musim depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *