Sukan

Bersama Kuantan FA antara perkara buruk, kariernya sebagai pemaian bola sepak

Sudah lima tahun berlalu sehinggalah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional, namun bekas pemain import Negeri Sembilan, Shunsuke Nakatake masih lagi tidak dapat ‘merasa’ tunggakan gajinya bersama bekas majikan Kuantan FA.

Nakatake yang pernah menyarung jersi PDRM berkata, suasana bola sepak di Malaysia sangat baik cuma pengalamannya bersama Kuantan FA antara perkara buruk yang melandanya sepanjang karier sebagai pemain bola sepak.

Nakatake berkata, sehingga kini Kuantan FA masih lagi berhutang dengannya kira-kira RM50,000 apabila tidak dibayar gaji untuk tempoh beberapa bulan ketika bermain untuk pasukan terbabit.

“Segalanya baik di Malaysia termasuk penyokong tempatan, rakan sepasukan dan majikan cuma pengalaman bersama Kuantan FA memang tidak dapat dilupakan kerana tidak dibayar gaji.

“Walaupun sudah membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian. “Sekarang ini saya sudah bersara di usia 30 tahun dan masih mengharapkan bekas majikan membuat pembayaran tunggakan gaji berkenaan secepat mungkin,” katanya, ketika ditemui pada majlis penghargaan Yakult kepada pemain Jepun itu, di sini, hari ini.

Majlis penghargaan itu dihadiri Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang bertujuan menghargai pemain sinonim dengan jersi 7 sepanjang menabur bakti dalam industri bola sepak negara.

Sementara itu, Nakatake berkata, keputusan menggantung but pada usia muda adalah disebabkan tuntutan keluarga seterusnya mahu pulang ke negara asalnya selepas tujuh tahun berkelana di Singapura dan Malaysia.

“Keputusan terbabit bukanlah di sebabkan pernah melalui sejarah hitam bersama Kuantan FA namun sudah tiba masanya menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya.

sumber : HM

Sementara itu, ketika ditanya tempoh lima tahun melayakkannya untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi, Nakatake berkata, tidak terlintas dalam dirinya untuk berbuat demikian walaupun ada beberapa pihak pernah mencadangkan perkara itu. “FAM tidak pernah menghubungi saya berkaitan perkara itu cuma ada isu berkenaan timbul selepas dimainkan oleh media dan portal saja,” katanya yang turut dinobatkan pemain paling banyak ‘assist’ (membantu gol) untuk Liga Perdana 2020.