Sukan

Dakwaan Norizam, FAM dan MFL perlu berikan perhatian sewajarnya – Khalid Ali

Beberapa dakwaan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terhadap masalah yang dihadapi FAM dan MFL tidak boleh dianggap sebagai serangan peribadi semata-mata, sebaliknya perlu diberikan perhatian sewajarnya, kata bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali.

Beliau berkata, Norizam tidak akan membuat dakwaan secara melulu, namun tidak ramai yang berani bersuara untuk mempersoalkan sesuatu perkara seperti ahli perniagaan itu.

“Kemungkinan bukan Kelantan sahaja yang menghadapinya tetapi mungkin juga beberapa pasukan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

“Namun, pasukan lain itu tidak berani bersuara kerana mungkin kekangan peraturan dan undang-undang atau sebagainya. Apabila pemilik Kelantan dah bersuara, ia seperti membuka rahsia yang sebelum ini orang tak tahu.

“Sama ada benar atau tidak, saya berpendapat perkara seperti ini harus diambil berat oleh pihak FAM dan MFL untuk diselesaikan segera.”

Konflik antara Norizam terhadap MFL dan FAM mula tercetus apabila Kelantan FC dilaporkan bakal dikenakan pemotongan tiga mata jika gagal gaji 11 bekas pemainnya bernilai lebih RM187,000 tidak dibayar dalam tempoh 30 hari.

Walaupun Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menafikannya, Norizam jelas tidak boleh menerima kenyataan tersebut dan membuat keputusan untuk mendedahkan beberapa perkara yang melibatkan FAM dan MFL termasuk tunggakan bayaran hak penyiaran saingan Liga Malaysia dan tunggakan elaun pengadil.

Malah, Norizam mendedahkan The Red Warriors tidak pernah menerima bayaran hasil daripada perlawanan secara langsung menerusi atas talian MyCujoo.

Namun Khalid menganggap perbalahan itu boleh diselesaikan secara bersemuka tanpa perlu ‘berperang’ di media sosial.

sumber : SH

“Saya tidak nampak ‘perang’ yang berlaku ini akan membawa kebaikan kepada industri bola sepak kita. Ada ruang untuk mereka berunding dalam menyelesaikan masalah ini. Kita tidak mahu perkara sebegini merosakkan imej bola sepak negara.”