Jadual Liga M dirombak semula

Ketidaktentuan situasi pandemik Cov!d-19 di negara ini menyaksikan sekali lagi kalendar Liga Malaysia (Liga-M) membabitkan saingan Liga Perdana bakal dirombak semula.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pindaan tarikh sepak mula itu perlu dilakukan ekoran negara ketika ini masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Liga Perdana yang sepatutnya bersambung pada 3 Julai ini terpaksa dipinda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini sebaik MFL membuat perangkaan dan penyusunan semula jadual Liga Perdana.

Katanya, pindaan itu turut membabitkan perlawanan tertunda di antara Perak FC II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh, Perak yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 29 Jun, manakala Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun ini.

Tambahnya lagi, MFL terpaksa meminda tarikh terbabit selepas mendapat saranan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila mengambil kira situasi semasa kes harian C0v!d-19 di negara ini yang masih berada di tahap membimbangkan.

“Ini kerana Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Sekretariat Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi sudah memberikan pandangan kepada MFL supaya menangguhkan sementara perjalanan Liga Perdana sepanjang tempoh PKP 3.0 disebabkan kes harian C0v!d-19 masih tinggi iaitu melebihi 4,000 kes sehari.

“MFL sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan selain turut memandang serius terhadap isu pandemik di mana perjalanan Liga Malaysia boleh disambung semula tertakluk kepada pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) daripada masa ke semasa.

“Walaubagaimanapun, program latihan berpusat mengikut Model Gelembung Sukan secara ‘Camp Base Training’ termasuk perlawanan latihan tertutup dibenarkan selaras SOP yang dikeluarkan oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Keputusan berhubung pindaan jadual Liga Perdana serta beberapa perkembangan terkini mengenai perjalanan Liga-M juga sudah dimaklumkan kepada semua pasukan dalam sesi taklimat dalam talian bersama CEO kelab-kelab Liga Super dan Liga Perdana yang dipengerusikan oleh Ghani.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa tiada perubahan bagi jadual Liga Super.

“Keputusan pindaan tarikh ini hanya membabitkan pasukan Liga Perdana di mana Liga Super akan kembali bersambung pada 24 Julai depan.

sumber : HM

“Namun seperti saya katakan tadi status Liga-M tertakluk kepada arahan terkini pihak kerajaan,” katanya.