Sukan

Jangan Terlalu cepat menilai, beri Yusri peluang dan ruang – Azman Adnan

Jangan terlalu cepat menilai, beri peluang dan ruang buat Yusri Che Lah menunjukkan kemampuannya sebagai pengendali skuad Projek FAM-MSN yang akan beraksi di Liga Perdana musim depan.

Itu pandangan bekas pemain kebangsaan dan juga Selangor, Azman Adnan.

Azman yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Jenamanya AA 19 berkata, pastinya keputusan itu dibuat selepas pengurusan menilai pelbagai aspek kerana sebelum Yusri dipilih perkara itu sudah dibincang terlebih dahulu.
“Bagi pemilihan Yusri ada pro dan kontranya. Ada yang suka ada yang tidak. Tapi bagi saya dia dah dilantik jadi bagi dia peluang.

“Kita sama-sama pantau macam mana dia merencanakan pemain muda dan sebagai jurulatih tiada siapa boleh cakap dia tak bagus sebab sebelum dia mengambil jawatan itu pasti dia dan berbincang dengan pihak atasan.

“Jadi bagi dia peluang kalau tak berjaya kita tukar, tak perlu terlalu awal menilai. Belum cuba kita dah goyah. Jika dia tak berjaya terpulang pada pengurusan,” katanya yang seangkatan dengan Yusri ketika era 90an.

Terdahulu legenda bola sepak negara, Khalid Ali mempersoal keputusan FAM dan MSN melantik Yusri sebagai ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN dengan mengatakan pemilihan itu tidak menyeluruh dan hanya melibatkan sejumlah kecil pemain.

Pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada 1999 dan beraksi bersama skuad kebangsaan dari 1999 hingga 2000 sebelum bersara pada 2004, Azman turut mengulas kepentingan pemain naturalisasi buat skuad negara.

Namun pemilihan pemain berkenaan perlulah tepat yang boleh membantu menjulang nama Malaysia dan pemain tempatan perlu bangkit menonjolkan bakat agar tidak ketinggalan kepada barisan pemain naturalisasi ini.

Mengambil contoh kehadiran Mohamadou Sumareh, pemain kelahiran Malaysian-Gambian yang dilihat satu pengambilan yang berbaloi buat negara.

“Kalau saya yang bermain, saya akan lawan pemain import itu, saya akan tunjukkan saya lagi bagus daripada mereka.

“Saya pernah beraksi dengan Christopher Kiwomya (1997) dan Tony Cottee (1996), mereka pemain yang ada nama dan saya buktikan saya boleh lawan mereka. Kita sebagai pemain harus sentiasa berusaha untuk bertanding dengan pemain import yang datang.

sumber : HM

“Kita perlu jadi tunjang kepada pasukan dan usaha sehabis baik untuk main kerana negara,” katanya yang turut pernah beraksi bersama Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur FC.