Sukan

JDT dan Selangor Beruntung

Pasukan Liga Malaysia (Liga M) patut berasa beruntung kerana mereka boleh mendapatkan pemain berbakat lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) secara percuma.

Ia selepas difahamkan masih tiada bayaran pampasan tertentu dikenakan untuk mana-mana pasukan yang mahu menawarkan kontrak kepada mereka apabila tamat ‘pengajian’ di AMD.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dilaporkan bercadang mengenakan bayaran pampasan kepada pihak yang berminat mendapatkan pemain dari akademi itu bermula tahun ini.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada semua pihak termasuk bekas Pengarah AMD sendiri, Lim Teong Kim.

Teong Kim dikatakan tidak setuju sekiranya satu ‘tanda harga’ diletakkan ke atas ‘graduan’ dari AMD kerana ia adalah akademi yang diuruskan MSN dengan menggunakan dana kerajaan.

Malah, sudah menjadi objektif penubuhan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang menelan belanja jutaan ringgit untuk melahirkan lebih ramai bakat masa depan dalam sukan bola sepak.

Menurut sumber, sukar untuk MSN mengenakan bayaran kerana mereka bukanlah badan yang berkaitan bola sepak dan pemain dari akademi itu tidak terikat dengan kontrak.

Baru-baru ini, 12 pemain daripada lebih 40 pelatih generasi kedua AMD itu dilaporkan ditawarkan kontrak bersama dua kelab gergasi Liga M, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

sumber : BH

Justeru, kemungkinan besar dua pasukan itu mendapatkan produk dari AMD secara percuma dengan pemain yang terpilih ditawarkan kontrak dua hingga tiga tahun.