Sukan

Kehadiran bekas jurulatih kebangsaan gembirakan Irfan bakti

Ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kehadiran bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan sebagai Pengarah Teknikal KCFC bakal memberi impak besar bukan sahaja kepada pemain malah juga kepada jurulatih negeri itu.

Katanya, pengalaman luas yang dimiliki jurulatih berusia 64 tahun kelahiran Johor itu adalah aset berharga buat pembangunan bola sepak negeri Bumi Kenyalang itu.

Selain itu, Irfan Bakti berkata, kehadiran bekas gurunya itu mengingatkan kembali nostalgia ketika sama-sama membimbing skuad kebangsaan pada tahun 1996 dan 1997.
“Pengalaman Wan Jamak cukup bernilai untuk membantu pasukan KCFC memburu slot ke Liga Super musim depan selain memantapkan lagi program pembangunan bola sepak negeri.

“Saya juga percaya beliau mampu memperkemaskan dan meningkatkan lagi kualiti serta menambah bilangan barisan jurulatih kelahiran Sarawak yang memiliki lesen Kelas A berbanding kini majoritinya hanya lesen Kelas B dan C.

“Lagipun saya cukup kenal dengan beliau, malah saya pernah menjadi penolong jurulatihnya ketika membantu pasukan negara muncul naib juara Piala Tiger pada 1996 selepas tumpas 0-1 kepada Thailand selain pernah bersama dalam pentas Sukan Sea setahun kemudian, jadi pengalaman luasnya mampu melahirkan pemain berkualiti demi pembangunan bola sepak Sarawak,” katanya.

Berdasarkan rekod, Wan Jamak yang mengikat kontrak bersama pasukan itu mulai hari ini pernah membimbing pasukan kebangsaan bermula 1975 hingga 1980, selain mengemudi pasukan Johor, Telekom Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan PKNS.

Dalam pada itu, Irfan Bakti berkata, khidmat bekas penyerangnya, Bryan Jones Anicezio kembali ditagih bagi memantapkan lagi jentera serangan pasukan.

Sebelum ini pemain kelahiran Sao Paulo berusia 31 tahun itu tiada dalam senarai pasukan kerana kuota pemain skuad itu sudah mencukupi.

“Namun kecederaan lutut yang dialami penyerang, Leonardo Alves membuka peluang buat pemain itu untuk disenaraikan semula dalam pasukan pada saat akhir.

“Lagipun pemain itu tiada masalah untuk membentuk keserasian malah tahap kecergasannya berada dalam keadaan baik kerana bersama pasukan KCFC musim lalu selain sudah membuktikan keupayaan meledak jaringan, jadi kehadiran semula Anicezio diharap mampu memainkan peranan sebagai penjaring,” katanya.

sumber : HM

KCFC yang menghuni di tangga keempat Liga Perdana musim lalu bakal membuat perhitungan pertama dengan Terengganu FC II (TFC II) pada 10 Mac ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.