Sukan

Keputusan ditangan Irfan – Aidil

Sama ada pertahanan Kedah, Irfan Zakaria kekal bersama Lang Merah atau memilih beraksi dengan pasukan di Lembah Klang musim depan terus menjadi persoalan.

Wujud spekulasi mengatakan pemain berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan pasukan Kuala Lumpur sebagai pilihan seterusnya walaupun peranan pemain kelahiran ibu kota berkenaan ditagih untuk memperkuatkan benteng Kedah.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, dia sudah mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan semua pemain terbaiknya, namun pada masa sama mengakui tidak dapat menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah.

“Tawaran sudah diberikan kepada semua pemain, dan kita akan lihat sama ada mereka ‘ada hati’ untuk kekal atau sebaliknya kerana sudah menjadi kebiasaan di hujung musim bagi pemain itu sendiri untuk menilai dan membuat keputusan dan hala tuju masing-masing.

“Sebagai ketua jurulatih saya mesti terus tenang, cekal dan reda dengan apa jua ketentuan yang datang dan ianya sebahagian dari lumrah buat setiap jurulatih dalam membuat perancangan selanjutnya.

“Ia juga perkara biasa bilamana pasukan sudah mencapai beberapa kejayaan, maka akan ada banyak tawaran dari pasukan luar yang datang untuk ‘memancing’ pemain sedia ada,” katanya.

Aidil juga berkata, di samping memberi tumpuan perancangan terbaik membentuk pasukan Kedah untuk musim depan, pihaknya juga sudah mengambil iktibar pengalaman musim lalu.

sumber : HM

Setakat ini, Kedah sudah mengumumkan beberapa pemain yang tidak akan bersama musim depan seperti Shakir Hamzah, Zaquan Adha Abd Radzak, David Rowley, Norfiqrie Abdul Talib, Amin Nazari, Hadin Azman, Alif Yusof, Azri Ghani, Aminuddin Abu Bakar, Khairul Helmi Johari, Asri Muhamad dan N Thanabalan.