Sukan

Logo UNICEF bakal tertera di hadapan jersi JDT musim depan

Ketika pasukan Liga Malaysia (Liga M) lain sibuk memborong pemain baharu, lain pula dilakukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengambil pendekatan lebih mengutamakan penjenamaan kelab untuk meningkatkan nllai komersial di peringkat global.

Ini selepas juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu menjalin kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada musim depan, yang pertama seumpamanya membabitkan kelab bola sepak di Asia Tenggara.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengumumkan perkembangan itu di sini, berkata pihaknya teruja dengan kerjasama itu dan menganggap ia satu penghormatan paling tinggi buat kelab berkenaan sekali gus meningkatkan lagi nilai komersial mereka.

“Saya amat berbangga mengumumkan JDT akan bekerjasama dengan UNICEF pada musim depan. Bagi pengetahuan semua, JDT mempunyai polisi membantu kanak-kanak di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia terutama dalam aspek pelajaran, kesihatan dan keselamatan.

“Ia pengiktirafan tertinggi dan kerjasama berkenaan adalah untuk setahun dan akan bakal diteruskan untuk tahun seterusnya. Bagi proses mendapat kerjasama dengan UNIFEC, kami mengadakan dua kali pertemuan. Selepas itu, sebanyak tujuh kali ditapis oleh badan itu yang berpusat di Geneva, Switzeland,” katanya pada majlis memeterai kerjasama dengan UNICEF di pejabat JDT, di sini, hari ini.

UNICEF diwakili wakilnya di negara ini, Dr Rasheed Mustafa Sarwar. Turut hadir ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata ia adalah kerjasama antara kedua-dua pihak dan tiada sebarang tajaaan. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat berhubung kerjasama berkenaan.

Pemilik kelab JDT itu juga menyatakan kemungkinan logo UNICEF akan tertera di hadapan jersi pasukan pada musim depan.

Tunku Ismail juga menegaskan kerjasama bersama UNICEF itu bakal memberi impak positif terhadap JDT memandangkan badan berkenaan sentiasa melakukan kerja-kerja amal terutama untuk golongan kanak-kanak.

Sumber : BH

“Kerjasama itu amat sesuai dengan JDT. Bukan sahaja kami fokuskan kepada sukan bola sepak tapi juga akan beri fokus kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR). Kami bukan saja mahu kejayaan di dalam padang malah di luar padang,” katanya.