Luahan Sumareh

Pemain sayap skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh mengakui pencapaian Harimau Malaya pada tiga aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan hasil yang diharapkan pasukan.

Sumareh yang tidak beraksi ketika Harimau Malaya meraih kemenangan tunggal di Dubai selepas menundukkan Thailand 1-0, kelmarin meluahkan perkara itu di laman Instagramnya, hari ini.

Ia pasti bukan keputusan yang kami harapkan tetapi ini adalah bola sepak, kami akan terus bekerja keras dan meningkat dalam perlawanan yang akan datang.

Sentiasa menjadi satu penghormatan untuk mewakili pasukan kebangsaan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat sepanjang tempoh ini. Kami akan bangkit dengan aksi lebih baik, katanya.

Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara berjaya memberi !mpak besar kepada pasukan dalam kempen kelayakan sebelum ini, namun dilihat kurang menyerlah dalam tiga aksi di Dubai yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-4 dan 1-2 di tangan UAE dan Vietnam.

Bukan sahaja Sumareh, beberapa pemain tonggak yang dianggap menjadi harapan Harimau Malaya termasuk dua lagi pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula serta Safawi Rasid turut dilihat tidak berada pada prestasi sebenar.

Kekalahan kepada UAE dan Vietnam menyebabkan Harimau Malaya gagal lolos ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan terlepas slot automatik ke Piala Asia.

Namun, anak buah Tan Cheng Hoe yang menamatkan saingan Kumpulan G di kedudukan ketiga akan beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang dijangka berlangsung awal tahun depan.