Sukan

Masih gagal mengemukakan Gelanggang Tuan Rumah

Di mana Selangor FC mahu melayan kunjungan pasukan pelawat jika saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula awal Mac depan?

Persoalan itu timbul kerana Selangor FC sehingga kini gagal mengemukakan venue lain sebagai ganti kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk dijadikan gelanggang tuan rumah berikutan Stadium Shah Alam masih dalam proses baik pulih.

Jika melihat kepada situasi berkenaan, Selangor mempunyai tidak sampai sebulan untuk mencari seterusnya mengemukakan nama stadium.

Mengesahkan perkara terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan meminta Selangor segera mengemukakan venue tuan rumah dengan segera bagi memudahkan MFL menyusun jadual atau menyelesaikan beberapa perkara lain. Beliau berkata, setakat ini Selangor FC tidak menghantar sebarang permohonan atau pengesahan venue yang akan digunakan sebagai tuan rumah untuk melayani kunjungan pelawat nanti.

“Stadium Shah Alam sehingga kini tidak boleh digunakan kerana masih lagi dalam tempoh baik pulih sekali gus memakan masa lama untuk disiapkan. Oleh itu, MFL sudah memberitahu pengurusan Selangor FC mencari stadium baharu untuk dijadikan sebagai venue tuan rumah. “Setakat ini, kita belum lagi menerima sebarang permohonan untuk menggantikan Stadium Shah Alam dan berharap pengurusan Selangor boleh menghantar segera kerana tempoh yang ada sudah suntuk iaitu kurang sebulan jika saingan liga bermula 3 Mac depan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Selangor FC terpaksa melupakan Stadium Shah Alam bagi mengharungi baki Liga Malaysia (Liga M) musim lalu selepas masalah kerosakan bumbung venue itu belum sempat dibaik pulih.

sumber : HM

Malah, Gergasi Merah Kuning terpaksa beraksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi baki perlawanan liga musim lalu. Situasi sama terpaksa dilalui pada musim ini apabila stadium keramat bagi Selangor FC itu kemungkinan mengambil masa agak lama untuk diperbaiki sekali gus pasukan terbabit perlu mencari venue lain.