Sukan

Nama Rasmi Skuad Tok Gajah musim 2021

Nama Sri Pahang akhirnya kekal sebagai nama rasmi skuad bola sepak Pahang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mulai musim 2021.

Nama Sri Pahang dipilih selepas mendapat undian paling tinggi dalam peraduan mencipta nama dan logo baharu skuad Tok Gajah.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, nama tersebut mendapat undian tertinggi berbanding nama-nama lain dicadangkan.

“Nama Sri Pahang telah mendapat undian terbanyak sepanjang peraduan yang diadakan,” Katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Mohammed Suffian, nama Sri Pahang jauh mengatasi nama-nama lain dicadangkan seperti Pahang FC atau Darul Makmur.

Menurutnya, nama Sri Pahang mendapat lebih 2,000 undi berbanding nama-nama lain yang undinya hanya sekitar 30 hingga 50 undian sahaja.

Nama Sri Pahang mula mendapat perhatian penyokong Tok Gajah selepas didaftarkan bagi tujuan pengswastaan.

Bagaimana pun nama tersebut mendapat bantahan segelintir peminat yang merasakan nama itu tidak sesuai untuk pasukan bola sepak.

Malah terdapat dalam kalangan peminat yang merasakan nama itu lebih nampak seperti pasukan kampung dan sebuah badan kesenian.

Keadaan tersebut menyebabkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menganjurkan pertandingan nama dan logo baharu secara dalam talian menerusi portal rasmi Pahang FA.

“Sehingga kini saya sahkan nama Sri Pahang tetapi bagi logo, ianya sudah ada pemenang tetapi masih dalam proses ubah suai,” katanya.

sumber : UM

PBNP akan mengumumkan nama pemenang nama dan logo baharu Pahang dalam waktu terdekat.