Sukan

Enggan harapkan kejayaan singkat daripada TRW

Pemilik Kelab Bolasepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman meletakkan sasaran untuk membawa kembali skuad The Red Warriors (TRW) ke saingan Liga Super dalam tempoh tiga tahun.

Walaupun tempoh yang diletakkan itu lama, namun Norizam dilihat enggan mengharapkan kejayaan singkat daripada TRW selepas mengambil alih pasukan itu tahun lalu.

“Dalam saham, kena target (sasar) sesuatu pulangan lambat, tetapi biasa hasil akan dapat cepat. Dalam bola, saya sasar untuk TRW Kelantan FC naik ke Liga Super adalah tahun 2024,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, semalam.

Kelantan yang pernah menjadi gergasi di Liga Super dan muncul juara pada 2011 dan 2012 jatuh ke Liga Perdana pada musim 2019 selepas menghuni kedudukan dua terbawah.

Selain itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham turut memberi bayangan akan mengintai potensi pelaburan dalam bola sepak Indonesia.

“Ekonomi Indonesia sedang pesat membangun, rasuah semakin kurang. Kena intai peluang bola Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan pemain import baru TRW dari Greece, Christos Intzidis dalam perjalanan ke Malaysia dan akan menyertai skuad Pantai Timur itu dalam masa terdekat.

Memiliki ketinggian 1.89 meter, Intzidis yang berusia 28 tahun akan membantu pasukan Kelantan di posisi pertahanan tengah.

Sementara itu, TRW juga akan mendapat sentuhan pemain sayap muda dari Indonesia, Natanael Siringo Ringo.

sumber : BH

Baru berusia 22 tahun, Natanael pernah dipanggil untuk mengikuti pemilihan skuad kebangsaan Indonesia bagi persiapan Sukan SEA 2019 di Filipina.