Sukan

Rekaan jersi berunsur retro Terima pujian

Selangor FC melancarkan jersi ‘home’ baharu atau tuan rumah bagi musim 2021, hari ini, menerusi atas talian di semua platform media sosial skuad Gergasi Merah itu.

Menggunakan elemen utama ‘Legasi Mokhtar Dahari’ dalam rekaan jersi berunsur retro itu, ia pantas mendapat pujian daripada peminat bola sepak tanah air.

Jersi baharu 'home' Selangor FC yang dilancarkan hari ini. - Foto ihsan Selangor FC.

Dalam kenyataan menerusi laman sesawang rasmi kelab, Selangor FC menyatakan rekabentuk itu diinspirasikan daripada rekaan jersi yang digunakan pasukan Selangor ketika menjadi juara Piala Malaysia pada 1986 iaitu kejuaraan ke-27.

Katanya, jersi home bagi musim 2021 ini masih mengekalkan beberapa elemen penting daripada tahun 1986.

“Warna jersi merah, kuning dan hijau di jersi ini diambil daripada bendera Raja Muda Selangor sebagai penghormatan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang pada ketika itu Raja Muda Selangor serta penyokong nombor satu pasukan Selangor.

“Selain itu, kedudukan lambang Selangor FC juga diletakkan di bahagian kanan dada seperti jersi asal bagi mengetengahkan elemen retro bagi jersi home musim ini.

“Walaupun tema dan konsep jersi Home 2021 berlandaskan unsur retro, terdapat beberapa elemen moden yang digarap supaya ia bersesuaian dengan rekaan kontemporari.

“Antara perbezaan terbesar di antara jersi musim 2021 dengan jersi asal adalah hiasan motif kelopak bunga di bahagian warna kuning jersi yang melambangkan bunga rasmi negeri Selangor iaitu bunga tanjung (mimusops elengi),” kata kenyataan itu.

Edisi musim 2021 juga mempunyai bendera ‘quarterfly’ merah kuning pada bahagian dada dan riben bertulisan “85 Years Creating A Legacy” yang disematkan pada bahagian belakang kolar, sempena sambutan 85 tahun penubuhan pasukan bola sepak itu.

Malah, lambang istimewa ‘SuperMokh’ turut diabadikan di belakang jersi sebagai tanda penghargaan kepada legenda bola sepak Malaysia dan Selangor, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang menyarung jersi itu ketika menjulang kejuaraan terakhirnya bersama skuad Gergasi Merah.

Menerusi kenyataan sama, pengurusan Selangor FC berharap jersi home musim 2021 dapat membawa aura kejuaraan dan meniup semangat perjuangan yang tinggi kepada semua pemegang taruh Selangor FC dalam misi memburu kejayaan pada tahun ini.

sumber : BH

Jersi retro yang simbolik dan penuh bersejarah itu boleh dibeli di SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain manakala edisi penyokong hanya akan dikeluarkan selepas perayaan Tahun Baru Cina.