Sukan

Revolusi 10 Pemain pertama JDT

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih kepimpinan Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada Februari 2012 menggantikan Jais Sarday.

Detik itu, revolusi Tunku Ismail untuk merubah sepenuhnya wajah bolasepak negeri Johor segera bermula, dan pada 2013, Johor FC dijenamakan semula sebagai Johor Darul Takzim (JDT).

Bertitik tolak dari revolusi itu, hari ini JDT muncul kuasa besar bolasepak tanah air, dengan dominasi unggul yang cukup sukar digugat.

Dan ini adalah 10 pemain tempatan pertama yang dibawa masuk pada 2013 untuk menyarung jersi sebuah pasukan yang diberi imej dan nafas baru.

Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak

Pasangan kembar popular ini telah bermain bersama sejak dari usia remaja mereka dan mencipta beberapa kejayaan manis di Negeri Sembilan sebelum dipancing ATM.

Selepas membantu ATM menjulang Liga Premier dan muncul naib juara Piala Malaysia, kedua-dua mereka menjadi antara rekrut pertama dalam revolusi JDT.

Lapan musim bersama pasukan, Aidil Zafuan menjadi pemain paling lama menyarung jersi Harimau Selatan, dan lebih menarik dia adalah pemenang setiap trofi yang JDT menangi hingga ke saat ini.

Sebaliknya bagi Zaquan Adha, dia bergelut dengan kecederaan dan hanya bermain semusim bersama JDT, ‘ditolak’ bermain dengan JDT II selama dua musim sebelum berhijrah ke Perak.

Safiq Rahim

Selepas tiga musim membina nama sebagai pemain tengah terbaik dalam negara bersama Selangor, Safiq berhijrah ke JDT dan mengukuhkan reputasi hebatnya itu, menjadi seorang daripada tonggak pasukan itu bangkit mendominasi Liga Malaysia.

Bersama JDT selama enam musim, Safiq menjulang lima gelaran Liga Super serta Piala FA dan Piala Malaysia sekali, namun yang paling membanggakan pastinya apabila dia mengetuai Harimau Selatan mencipta sejarah menjulang Piala AFC 2015, malah dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir menentang Istiklol FC.

TMJ sendiri menyifatkan pemain ini sebagai pemain dan juga kapten paling berjaya dalam sejarah kelab. Dia meninggalkan JDT pada 2018 untuk bersama Melaka United.

Azmi Muslim

Pemain bek kiri ini adalah seorang lagi anggota skuad juara Liga Premier ATM yang disambar JDT, tetapi bergelut dengan masalah prestasi menyaksikannya hanya bermain dalam beberapa perlawanan sebelum dilepaskan menyertai Felda United pada musim yang sama.

Muslim Ahmad

Muslim dianggap sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik Liga Malaysia selama dua musim bersama Terengganu pada 2011 dan 2012. Pada usia 23 tahun dia mempunyai dua pingat emas Sukan SEA dan trofi Piala AFF bersama pasukan kebangsaan untuk dibanggakan, lantas minat ditunjukkan JDT terhadap khidmatnya tidaklah menghairankan.

Tetapi ia menjadi perpindahan yang pastinya mahu dilupakan Muslim apabila kariernya di Larkin dihimpit beberapa isu menyebabkan dia hanya beraksi beberapa perlawanan sebelum ditamatkan kontrak.

Nurul Azwan Roya 

Setelah membantu Kelantan menjulang treble pada 2012 di mana dia adalah salah seorang tonggak utama kejayaan bersejarah itu, Nurul Azwan kembali semula ke pangkuan JDT pada 2013 – tempat di mana karier professional bolasepaknya bermula. Pemain ini bukan nama asing di Larkin, pernah mewakili Johor FC selama 6 tahun dari 2005-2010.

Begitupun persaingan terlalu sengit di dalam sebuah pasukan yang bercita-cita tinggi, menyebabkan Nurul Azwan gagal menjadi pilihan utama kesebelasan dan dia berpindah ke PDRM pada musim berikutnya.

Hadin Azman

Pada usia 18 tahun, Hadin Azman menjadi salah seorang pemain termuda menyertai skuad revolusi TMJ. Dia terlebih dahulu beraksi secara pinjaman dalam saingan Piala Malaysia 2012 bersama Johor FC dan menjaringkan 2 gol. Hadin menandatangani kontrak tiga tahun tetapi berhijrah menyertai Felda United selepas dua tahun.

Akram Mahinan

Pemain defensive-midfield lasak kelahiran Kulim ini disambar dari Harimau Muda B dan merupakan antara pemain regular di awal dia menyertai JDT, sebelum kehilangan tempat dan kemudian ditolak beraksi dua musim bersama JDT II.

Walaupun kembali ke dalam skuad JDT pada 2016, Akram tidak sempat membuktikan apa-apa apabila tidak langsung diturunkan dan dia kemudiannya berpindah ke Kedah.

Safee Sali 

Antara perpindahan sensasi pada tahun 2013 apabila Harimau Selatan berjaya mendapatkan khidmat Safee Sali yang dianggap penyerang terbaik negara, dari kelab Indonesia Arema Malang. Safee Sali sememangnya mahu meninggalkan Indonesia dek kerana ketidaktentuan mengenai masa depan ISL dan membuat keputusan tepat memilih JDT untuk meneruskan karier.

Dalam tiga tahun, dia menjulang tiga Liga Super dan merupakan anggota skuad juara Piala AFC 2015. Dia meninggalkan JDT pada 2017 untuk menyertai PKNS.

Norshahrul Idlan Talaha 

Boleh dikatakan perpindahan paling kontroversi, dan paling menjadi tumpuan apabila JDT dikatakan membuat rundingan ‘pintu belakang’ untuk memancing pemain tonggak Kelantan ini, yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut 2010, 2011 dan 2012.

Kelantan sedaya upaya mahu mempertahankan pemain ini di Kota Bharu, dan jika melepaskan sekalipun mereka mahu harga setimpal. Namun akhirnya mereka akur apabila Persatuan Bolasepak Malaysia campur tangan dan membenarkan perpindahan pemain itu, dengan dia perlu membayar sejumlah pampasan kepada Kelantan untuk menebus kontraknya yang berbaki kira-kira setahun.