Sukan

Sah bergelar Selangor FC, Terus fokus pembangunan akar umbi

Tarikh 1 Disember 2020 hari ini menjadi detik pemisahan secara rasmi antara dua entiti bola sepak Selangor di bawah inisiatif penswastaan kelab daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Operasi Selangor FC, yang membabitkan pasukan Liga Super dan Liga Perdana, akan dipantau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, yang merupakan bekas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Dr. Johan berkata: “FAS akan terus memberikan fokus kepada pembangunan akar umbi dan kejurulatihan manakala Selangor FC lebih kepada pasukan profesional dan tugasan menjana pendapatan dalam industri bola sepak.

“Budaya kerjanya masih sama, kami masih berkerja keras dan menjadi seprofesional mungkin. Saya kini dapat lebih fokus kepada bola sepak profesional dan penajaan,” katanya.

Antara tugas yang perlu dihadapi Dr. Johan sebelum bermulanya musim 2021 adalah menyelesaikan persoalan mengenai masa depan pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva.

Pemain veteran itu dikhabarkan masih berpeluang mewakili pasukan utama Selangor atau Selangor II biarpun usianya akan mencecah 38 tahun.

“Kami masih mempertimbangkan kedudukan Sandro. Buat masa ini ia masih 50-50.

“Dia sudah melakukan banyak perkara buat pasukan ini dan kami percaya dia seorang suri teladan yang baik dan boleh terus memberikan sumbangannya buat pasukan ini sama ada di atas atau di luar padang.

“Dia mempunyai kualiti untuk bermain dalam pasukan utama dan contoh yang baik buat pasukan kedua.

sumber : SA

“Jadi, dia akan memainkan peranan yang unik seandainya kami memilih untuk meneruskan khidmatnya,” tambahnya.